Kebanjiran kumpulan rock di era 80-an dan 90-an diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Tidak keterlaluan jika diandaikan setiap negeri ketika itu berjaya melahirkan kumpulan berstatus ikon ataupun godfather.
Faktor penganjur yang sering bersaing dan berlumba-lumba dalam mencungkil bakat-bakat baharu ketika itu juga menjadikan industri muzik rock berkembang meriah tanpa had dan sempadan.
Tidak dinafikan peminat muzik rock agak selektif dalam menilai karya yang diminati. Mereka tidak meletakkan jumlah album dan pencapaian sesebuah kumpulan itu sebagai penanda aras.
Apa yang penting adalah gabungan elemen yang ditonjolkan seperti lagu, lirik, penampilan, serta pengetahuan sesebuah kumpulan itu dalam memperjuangkan hala tuju muzik tersebut.
Kris antara puluhan kumpulan rock yang lahir di era ini. Walaupun hanya sempat melahirkan dua album, namun kewujudan kumpulan ini dalam industri hiburan tanah air tidak boleh diperkecilkan.
Karya-karya mereka secara amnya sentiasa menjadi rujukan buat pelapis baharu serta generasi peminat muzik rock.
Mingguan Malaysia berpeluang menemu bual penyanyi utama kumpulan ini, Alim atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohd. Bukhari, 50 yang kini menetap di Ipoh, Perak.
Tidak dinafikan figura ini antara individu penting yang telah mengangkat kumpulan Kris gara-gara lontaran vokalnya yang mantap dan memukau peminat.
“Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi, tambah pula tiada seorang ahli keluarga yang berdarah seni. Kalau menyanyi pun sekadar di bilik air. Saya hanya bekerja sebagai kru filem di belakang tabir yang menjaga audio.
“Sejarah menjadi artis bermula apabila saya menjadi kru untuk drama bertajuk Senyuman Seorang Seniman yang diarahkan S. Amin Sahab. Waktu itu pelakon-pelakon yang terlibat semuanya hebat belaka seperti arwah Loloq, Wan Zul, Datuk M. Nasir dan ramai lagi.
“Ketika rehat atau habis shooting saya biasanya melepak dan bersembang bersama mereka. Maklumlah mereka semua ini orang hebat, jadi banyaklah cerita yang boleh dengar. Suatu hari, M. Nasir main gitar dan suruh saya menyanyi.
“Bila sifu suruh apa lagi, tentulah saya menyanyi dengan penuh perasaan. Habis saja menyanyi terus dia beritahu, nanti lepas habis shooting drama ini, kau datang studio audition,” kata Alim memulakan bicara.
Menurutnya, dia ketika itu langsung tidak ambil peduli dengan tawaran tersebut, malah sekadar menganggap apa yang diperkatakan M. Nasir itu hanyalah gurauan semata.
Namun segalanya menjadi kenyataan apabila temannya Bob, membawanya ke Kings Studio di Petaling Jaya untuk bertemu M. Nasir. Di situlah bermula langkah awal Alim bergelar penyanyi.
Ketika audition M. Nasir memintanya menyanyikan lagu Isabella, yang peliknya sebaik habis menyanyi dia langsung tidak memberi komen apa-apa.
Yang dia ingat, katanya, M. Nasir cuma kata selepas ini dia sudah boleh berhenti kerja dan start menyanyi.
Alim memberitahu, buat permulaan dia mengikut konsert jelajah Ruhil & Metal Child di seluruh negara. Dia bertindak sebagai penyanyi undangan dan hanya berduet untuk satu atau dua lagu sahaja.
“Maklumlah ketika itu saya bukannya siapa-siapa. Pengalaman menyanyi pun langsung tiada. Pendapatan saya ketika itu pun teruk juga. Hampir setahun saya struggle.
“Waktu itu saya memang mengimpikan untuk ada sebuah band. Dengan pertolongan Hattan, saya diperkenalkan dengan anggota Lips yang merupakan kumpulan pengiring untuk persembahan ratu rock Malaysia, Ella sebelum itu,” terangnya.
M. Nasir lantas memberi perkenan dengan permintaannya untuk menubuhkan satu kumpulan baharu bersama anggota Lips.
Ketika itu kemampuan kumpulan berkenaan memang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sering mengiringi persembahan artis-artis ‘bernama besar’. Setelah berbincang, mereka akhirnya bersetuju merakamkan album.
“M. Nasir mencadangkan agar kumpulan kami diberi nama Keris kerana inginkan unsur kemelayuan. Namun nama tersebut diubah sedikit menjadi Kris supaya tampak lebih catchy dan rugged.
“Ketika hampir keseluruhan lagu siap dirakam, M. Nasir menyedari yang tiada satu pun lagu killer terdapat dalam album tersebut . Waktu itu memang buntu, malah kami langsung tiada idea kerana seluruh pembikinan album itu kami serahkan bulat-bulat kepadanya.
“Lantas dia minta gitar yang ada di situ. Mulutnya terus kumat-kamit menyanyi ikut melodi petikan gitar di tangannya. Tidak sampai beberapa minit terus dia suruh soundman rakam lagu yang dimainkannya ketika itu.
“Memang dia seorang yang hebat! Sebab itulah dia layak dipanggil sifu. Bayangkan lagu dan lirik yang diciptanya ketika itu hanya siap dalam masa beberapa minit sahaja. Lagu yang diberi judul Tiara itu juga merupakan lagu terakhir yang dirakam dalam album tersebut. Dan siapa sangka lagu berkenaan berjaya mengangkat nama Kris,” katanya.
Lagu Tiara menjadi fenomena dan mengungguli carta stesen-stesen radio sekitar tanah air. Tidak menunggu lama, kumpulan Kris meneruskan perjuangan dengan pembikinan album kedua.
Ketika itu penerbit album, M. Nasir memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk menentukan identiti dan konsep yang mereka mahukan. Dan sekali lagi lagu Cenderawasih melonjakkan nama kumpulan ini.
“Pada awalnya lagu Cenderawasih ciptaan M.Nasir tersebut kami reject kerana ia kurang menepati kriteria yang diinginkan. Waktu itu M. Nasir tanya kami dengan selamba, tak menyesal reject lagu ini?
“Kalau aku beri pada grup lain, lepas itu meletup, korang jangan menyesal pula” Terus kami terdiam, akhirnya kami ubah suai sedikit sehinggalah berpuas hati. Dan benarlah kata M.Nasir rasanya kalau kami tolak lagu tersebut memang akan menyesal sehingga kini,” jelasnya.
Tambah Alim, waktu itu Kris tidak menang tangan dengan persembahan pentas. Setiap minggu ada sahaja show di merata tempat.
Namun panas tidak sampai ke petang apabila berlakunya peristiwa hitam di luar jangkaan yang mana ketika ingin mengadakan persembahan di Kedah, kenderaan yang dinaiki ditahan pihak berkuasa dan terjumpa bahan terlarang bersama mereka ketika itu.
“Memang malapetaka buat kami apatah lagi Kris baharu sahaja ingin menempa nama dalam industri. Lantas pihak syarikat rakaman dan anggota Kris mengadakan perbincangan tergempar atas kejadian tersebut.
“Sebulat suara kami mengambil kata putus membawa haluan masing-masing, sekali gus membubarkan kumpulan tersebut. Keputusan ini dibuat demi tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta melibatkan pihak-pihak tertentu,” katanya.
Menurut Alim, sejujurnya tindakan tersebut adalah jalan terbaik buat mereka tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.
Kembali aktif
Hampir enam tahun juga Alim menyepikan diri dari dunia hiburan sehinggalah dia kembali aktif menyertai kumpulan Primadona bersama Joey, salah seorang anggota kumpulannya.
“Selepas aktif saya mula menyanyi di kelab dan lounge-lounge. Walaupun situasinya agak berbeza dan lebih mencabar, namun saya tetap enjoy dan teruja kerana saban hari saya berhadapan dengan individu kelas atasan dari golongan kerabat diraja, VVIP dan sebagainya.
“Kini walaupun Kris hanya tinggal nama, namun kami masih berhubung rapat. Ikatan kami sudah seperti adik beradik. Insya-Allah jika dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki mungkin Kris akan muncul juga menemui peminat suatu hari nanti.
“Memang kami ada rancangan buat reunion. Tipulah jika tiada rasa rindu untuk berkongsi satu pentas bersama mereka seperti dahulu,” ujarnya yang ketika ini masih aktif sebagai penyanyi solo. – PANCAINDERA