Dunia hari ini menganggap kesihatan mental adalah perkara serius. Majoriti masyarakat kini lebih bijak dalam menerima kekurangan seseorang tanpa memperkecil masalah tersebut.
Yonnyboii, penyanyi yang dikenali sebagai komposer meningkat naik dalam industri seni tanah air ini mengakui, antara cabaran terbesar dalam hidupnya adalah penyakit Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) yang dihidapinya.
Keadaannya itu kadang-kala membuatkan orang sekeliling berasa tidak selesa dan tidak memahami dirinya.
“Penyakit ini buat saya memberi reaksi yang pelik sehingga orang tidak boleh terima. Bahasa tubuh saya seperti orang yang tidak betul.
“Setelah dapat tahu yang saya menghidap ADHD tahun lepas, baru saya faham kenapa selama ini tidak ramai yang suka berkawan dengan saya,” jelas pemuda yang berusia 22 tahun itu.
Namun begitu, pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu mempunyai bakat besar dalam dunia muzik sebagai komposer dan penyanyi.
Seawal usia 16 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula menggunakan bakatnya itu untuk meluahkan atau menceritakan pengalaman hidupnya.
“Dari waktu sekolah lagi, saya belajar untuk dengar pelbagai genre muzik kerana berpendapat setiap genre mempunyai bunyi yang menenangkan.
“Sejak itu juga saya mula aktifkan diri dalam platform Instagram dan YouTube dengan memuat naik video nyanyian di samping membeli iklan untuk mempromosikan laman saya,” jelasnya dengan penuh semangat.
Atas usahanya itu, dia telah berjaya menarik perhatian ramai termasuklah penyanyi rap Caprice yang kemudiannya mengeluarkan lagu berjudul Takut bersamanya pada 2019.
Dari situ juga, graduan Kolej Vokasional itu telah bertemu Zynnakal dan membuat keputusan untuk bersama-sama mencipta lagu bertajuk Sakit yang kini telah meraih lebih 35 juta penonton di laman YouTube.
“Lagu saya merupakan diari kehidupan sendiri. Apa yang dirasa, saya akan sampaikan melalui lagu. Sakit saya tulis untuk Zynnakal kerana pada waktu itu dia sedang mengalami depresi dan bipolar yang teruk.
“Dia tidak tunjuk kepada orang lain kecuali saya. Memahami apa yang dirasainya pada waktu itu, saya bagaimanapun tidak tahu untuk diungkapkan dalam kata-kata. Maka terciptalah lagu tersebut untuk Zynn,” jelas anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Yonny memberitahu, dia akan mengeluarkan album baharunya yang bertajuk Perfek pada masa akan datang.
Meski ramai berpendapat kebanyakan lagu yang dihasilkannya berunsur sedih dan penuh emosi, namun katanya, album baharu nanti akan mengandungi banyak genre berbeza.
“Saya harap orang lain tahu tiada apa yang boleh menjadi penghalang untuk mencapai impian dan mengejar cita-cita.
“Bila kita berusaha kita boleh jadi apa-apa yang kita mahu. Saya mahu tunjukkan yang bukan orang berada dan sempurna mental dan fizikalnya sahaja yang boleh menjadi sesuatu yang besar,”katanya. – Artis Baharu, Mingguan Malaysia