2020 tahun cemerlang tapi Servants mahu lebih - Utusan Malaysia

2020 tahun cemerlang tapi Servants mahu lebih

KUMPULAN SERVANTS -MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA banyak pandangan tentang tahun 2020. Ada yang melihat ia tahun yang mendung dengan norma kehidupan berubah menjadi lesu dan tidak bermaya akibat pandemik Covid-19. Ada juga yang bertemu cahaya baharu di sebalik mendung itu.
Ketika ditanya apa makna 2020 kepada mereka, Servants menjawab ia adalah rahmat dalam sumpahan.
Kugiran ini mengakhiri 2019 dengan azam untuk tampil lebih cemerlang pada 2020. Pelbagai perancangan dibuat termasuk mengadakan jelajah Asia melibatkan negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan Jepun. Namun, Covid-19 datang menyumpah rancangan mereka menjadi batu.
Siapa sangka ada rahmat di sebalik sumpahan itu. Terima kasih kepada Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020, nama mereka mula meniti di bibir lebih ramai peminat. Kejayaan meletakkan lagu I Wish It Was Only You sebagai lagu terbaik separuh akhir kedua dan finalis membuatkan Servants lebih dikenali ramai.
“Kalau sebelum ini, orang hanya kenal kami melalui gig. Biasanya selepas gig, orang puji kemudian habis macam itu saja.
“Namun disebabkan ALI, kami lebih banyak interaksi dengan peminat baharu. Ada yang mention di media sosial dan lagu kami semakin ramai pendengar,” kongsi Aziem, pemain bass kugiran itu.
Selain Aziem, Servants dianggotai Mirul (vokal), Adam (gitar), Afif (gitar) dan Rohaizad (dram).
Saya sendiri adalah peminat baharu Servants yang menemui mereka melalui ALI2020. Bukan sahaja I Wish It Was Only You, saya turut terpikat dengan dua lagi lagu mereka yang terpilih sebagai 200 lagu terbaik ALI2020, iaitu I’ve Drained Myself To Keep You Blooming dan Fake.
Selepas ALI, mereka terus mendaki tangga kejayaan apabila berjaya memasuki Kelab Platinum Carta Indie Rakita melalui I Wish It Was Only You, mengikuti jejak Pelukan Angkasa oleh Sekumpulan Orang Gila dan juara ALI2020, Penawar oleh Margosa.
Namun, apa yang dicapai itu masih belum cukup. Mirul berharap lebih banyak kejayaan dapat dikecapi kugirannya.
“Kami belum rasa sudah di puncak. Kami masih nak kejar puncak itu,” kata Mirul.
Semangat mereka turut didorong artikel yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 29 November lalu. Penulis artikel itu, Aniq Ammar Ekhwan mengatakan, konsep muzik yang dibawa oleh Servants yang menggabungkan elemen emo dengan spoken word berpotensi menjadi harapan masa hadapan muzik Malaysia.
Rohaizad berkata, pada awal penubuhan kugiran itu, mereka tidak mahu membawa konsep muzik yang sama seperti kugiran lain.
“Berbanding kita buat apa yang orang buat, lebih baik kita isi tempat kosong,” katanya yang mengakui banyak terpengaruh dengan kugiran yang menggunakan vokal bernada tinggi seperti Tres Empre.
Bagi Adam pula, sebagai anggota paling baru menyertai kugiran itu, dia melihat kekuatan sebenar Servants adalah pada vokal unik Mirul yang bernada tinggi.
Kekuatan itu juga menjadi fokusnya yang banyak mencipta lagu untuk album pertama Servants.
“Selama ini mereka lebih ke arah post-hardcore. Bagi aku, itu bukan faktor pelaris Servants. Faktor pelaris mereka ialah vokal Mirul.
“Jadi semua lagu dalam album akan berpaksikan vokal Mirul supaya orang cepat dapat tangkap,” katanya.
Berkenaan album, mereka kini dalam proses menyiapkannya dan mereka menjanjikan pembaharuan serta kejutan.
Kongsi mereka, album itu adalah peluang untuk ber­eksperi­mentasi dengan pelbagai bunyi yang mungkin seba­hagiannya tidak pernah dicuba sebelum ini.
Untuk permulaan, mereka akan menge­luarkan beberapa single bersama video muzik terlebih dahulu.
Dengan potensi yang ada pada kugiran ini, saya percaya album tersebut akan menjadi antara rilisan terpenting pada tahun ia diterbitkan. – Rondivu, Pancaindera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya