Bajet 2021, industri kreatif perlu alternatif - Utusan Malaysia

Bajet 2021, industri kreatif perlu alternatif

DUNIA perfileman negara memerlukan insentif sesuai dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUGAAN pandemik yang berlaku di seluruh dunia terus memberikan tekanan kepada semua bidang. Antara bahagian ekonomi yang turut merasainya adalah industri kreatif negara. Sama seperti bidang lain, industri kreatif juga memberikan sumbangan penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Sebagai antara bidang yang menyaksikan banyak projek ditangguhkan sepanjang tahun ini, tidak dinafikan aliran tunai yang dihasilkan industri ini terus mengalami penurunan. Lebih menakutkan ada yang turut berada di ambang kerugian kesan daripada cabaran tidak diduga ini.

Sempena Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini, penggiat industri seni tidak terkecuali berkongsi harapan dan pandangan dalam memastikan usaha mereka dalam memartabatkan karya seni, budaya dan warisan negara ini dapat diteruskan.

Melihat ini dari sudut yang lebih luas, ahli akademik yang juga pengarah filem, Prof. Datuk Dr. A. Razak Mohaideen yakin bantuan dari segi dana harus menjadi agenda utama dalam menyelamatkan industri seni khususnya dunia perfileman negara.

A. RAZAK MOHAIDEEN

Katanya, sebelum ini memang ada dana yang diperuntukkan cuma apa yang diharapkan agar dana ini ditambah jumlahnya. Selain itu, pemain industri turut memerlukan modal untuk menghasilkan karya.

“Mungkin boleh diwujudkan juga inisiatif pinjaman untuk mereka. Kita tidak bercakap soal yang di hadapan kamera sahaja, tetapi dalam tempoh sekarang mereka yang berada di belakang tabir juga turut merasai kesan pandemik ini.

“Kekangan kewangan turut memberi kesan kepada kreativiti penggiat seni. Dalam tempoh kritikal ini penonton mengharapkan penghasilan yang baik, tetapi dengan sumber kewangan yang terhad ia memberi impak kepada sesebuah karya. Ini antara bahagian yang perlu diperhalusi pihak kerajaan dalam memberi bantuan kepada industri kreatif.

“Dengan perintah kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa, kita lihat sendiri impak kepada panggung wayang.

“Sepatutnya ada alternatif dalam memastikan penonton kita dapat terus menikmati hasil karya tempatan dengan cara berbeza kini,” katanya yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, dengan keyakinan pengiklanan sebagai nadi utama pendapatan stesen televisyen (tv) , Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak percaya subsidi yang diberi kepada syarikat tempatan akan membuka laluan untuk lebih banyak promosi dijalankan.

Katanya, pengiklanan adalah kritikal untuk perniagaan tidak kira syarikat yang besar mahupun yang kecil dan sederhana. Bagi syarikat-syarikat berkenaan, adalah wajar pihak kerajaan menyalurkan subsidi khas untuk aktiviti promosi produk mereka ini di saluran tv.

“Ini bukan sahaja akan dapat menjadi pemangkin untuk perniagaan mereka, dalam masa yang sama turut membantu stesen televisyen baharu seperti Awesome TV.

“Antara lain, kami juga menerima kesan untuk mengulang tayang program kerana kelewatan produksi menghasilkan program-program baharu. Sekiranya ada dana untuk menampung kos ini, kami amat mengalu-alukannya untuk memastikan stesen baharu seperti Awesome TV terus bernafas,” jelasnya.

Memberi fokus kepada kebajikan pemain industri ketika ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pula berharap peruntukan untuk membantu hampir 7,000 ahlinya diperluaskan.
Katanya, ketika ini sumbangan yang diperlukan bukan sekadar untuk penghasilan karya tetapi turut melibatkan bantuan sara hidup yang dilihat agak kritikal.

“Saya memang berharap agar belanjawan kali ini tidak meminggirkan golongan pendukung industri yang turut sama terjejas akibat Covid-19. Memang sebelum ini ada peruntukan untuk persatuan seni yang berdaftar. Cuma kita tahu bagaimana mencabarnya tahun ini dan jumlah mereka yang terjejas makin bertambah.

“Sebab itu saya harap jumlah peruntukan itu ditambah dalam membantu golongan seni yang cukup terkesan dengan keadaan semasa malah ada yang hilang punca pendapatan berbulan-bulan,” katanya.

JANGAN PINGGIRKAN KAMI
Melalui episod getir yang sama, seperti rakan dalam industri perfileman, penggiat seni dalam bidang seni suara juga tidak ketinggalan merasai kekusutan kini. Jika sebelum ini persembahan secara langsung menjadi salah satu punca pendapatan, tentunya dalam tempoh sekarang itu antara perkara yang mustahil untuk diteruskan.

NANA MOHAMAD ROM

Berharap ada alternatif yang diberikan pihak kerajaan untuk membantu mereka, Pengarah Indigital Music, Nana Mohamad Rom yakin melalui insentif yang bersesuaian mampu menyelamatkan pelbagai kerjaya dalam industri ini.

“Sebagai pemilik syarikat pengurusan artis, memang tidak dinafikan apa yang dilalui kami ketika ini sangat menyesakkan.

“Besar harapan sekiranya bajet kali ini turut memberi perhatian kepada industri muzik. Memang ada insentif yang diberikan pihak kerajaan sebelum ini cuma diharap ada kepelbagaian dari segi bantuan.

“Apa yang penting kini ada dana yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan penyanyi dan yang paling penting ada cara untuk kami menyalurkan seni kreatif kami kepada masyarakat untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun turut mengharapkan bajet kali ini bersifat pemulihan kepada semua golongan termasuk penyanyi dan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang seni suara.

Katanya, ramai beranggapan golongan selebriti sebagai mereka yang tidak terkesan. Jujurnya dalam tempoh sekarang semua golongan juga mengalami nasib yang sama.

“Dalam tempoh sekarang ketiadaan acara hiburan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan penyanyi secara keseluruhan.

“Saya yakin golongan artis juga bukan sekadar menunggu bantuan sahaja, memang ada antara kami yang cuba melakukan pelbagai pekerjaan lain dalam meneruskan kehidupan.
“Cuma dalam menyelamatkan industri ini, diharap ada bantuan khusus yang disalurkan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya