KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak veteran, Ebby Yus, 56, melahirkan rasa terharu apabila menerima wang sumbangan sebanyak RM 30, 491,93 daripada seorang peminat wanita dari Singapura.
Menurut Ebby, wang sumbangan tersebut diterimanya sekitar awal bulan Mac lalu ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.
Kata Ebby lagi, pada awalnya dia agak musykil menerima pnggilan telefon daripada seorang peminat dari negara tersebut, namun selepas mendapatkan butiran terperinci individu terbabit, dia yakin ia bukan satu panggilan palsu.
“Saya cuma berhati-hati kerana bimbang jika individu tersebut adalah seorang scammer. Tetapi apabila dia menjelaskan siapa dirinya dan beriya-iya mahu memberi sumbangan, saya beranikan juga diri memberikan nombor akaun peribadi.
“Kalau dia betul scammer, dia boleh buat apa sangat pun sementelah duit dalam alaun bank saya cuma ada RM40 sahaja waktu itu,” katanya.
Ebby berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran beras Ashraffi di Mercu Summersuites Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), hari ini.
Dalam pada itu, menurut pelawak ini lagi, dia juga berterima kasih kepada individu tersebut yang sudi memberi sumbangan itu meski dia tidak pernah mengenali wanita berkenaan.
“Saya tak pernah kenal dia tetapi menerusi perbualan di telefon, dia memberitahu bahawa wang itu adalah hasil terkumpul daripada ahli keluarganya yang lain yang turut meminati saya.
“Saya bersyukur kerana ketika diuji dengan keadaan kesihatan yang tak menentu selain situasi pandemik ini, Allah SWT telah menghantar individu yang berhati mulia membantu saya,” katanya.