Roh tiup pembaharuan dalam filem seram tempatan - Utusan Malaysia

Roh tiup pembaharuan dalam filem seram tempatan

Adegan dalam filem Roh - Gambar KUMAN PICTURES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apakah ketakutan? Adakah ketakutan adalah melihat sesuatu secara fizikal? Misalnya melihat kehodohan hantu? Atau ketakutan muncul sebagai perasaan dan tertanam di hati sebagai penglihatan abadi kita? Sentiasa teringat-ingat dan terbayang-bayang?
Ketakutan dalam makna kedua adalah lebih benar dan merumitkan. Ia contoh bagaimana manusia tidak dapat menetapkan had dan sempadan ketakutan itu. Ia boleh jadi apa sahaja, boleh jadi sesuatu yang kita tidak nampak dan tidak faham.
Ketakutan bukanlah cetek setakat melihat kehodohan hantu tetapi ketakutan adalah tentang menduga perasaan dan pemikiran untuk berdepan dengannya.

Seram Tipikal

Kita boleh menakutkan penonton filem tempatan dengan seram fizikal tipikal melalui penampakan hantu secara susuk yang muncul dan mengacau atau boleh memilih untuk menjadi seperti filem Roh, menakutkan penonton tanpa melihatkan apa-apa kehodohan fizikal, sebaliknya remang roma itu muncul melalui ketakutan secara perasaan, secara dalaman, muncul daripada perbuatan dan kesilapan sendiri atau takdir yang muncul tiba-tiba.
Roh merungkai ketakutan secara peribadi dan bermain dalam ruang psikologi tersendiri malah melontarkan persoalan besar mengenai apakah yang lebih menakutkan berbanding kesan buruk daripada kesilapan sendiri.
Bisikan syaitan menjadi antara tumpuan utama dalam filem-filem seram dan dalam lingkungan filem tempatan, bisikan syaitan ini lebih selesa dipasangkan dengan kaedah berkhutbah yang mana kita akan dipaparkan dengan watak-watak yang bercakap tentang kejahatan syaitan dan keperluan manusia untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Pendekatan ini sudah kelihatan agak usang untuk digunakan dalam mendepani pembaharuan dalam pembikinan filem seram.
Justeru Roh menggunakan pendekatan berlainan dengan meletakkan kedudukan latar misteri, lantas kita tidak mengetahui secara jelas apakah kepercayaan dan agama watak-wataknya. Ia jelas memberikan kedudukan universal untuk mentakrifkan hubungan gelap manusia dan syaitan. Kita tidak terikat dengan mana-mana pegangan secara jelas dan ini menyaksikan Roh bergerak lebih bebas untuk merung­kai hubu­ngan berkenaan.

Kejutan Paksaan
Kedudukan aspek spiritual di dalam filem ini kadangkala membuatkan kita teringat kepada filem arahan P. Ramlee berjudul Sumpah Orang Minyak (1958) yang meneliti kelicikan syaitan mempengaruhi manusia yang mudah dicuit emosi dan amarahnya. Walaupun Sumpah Orang Minyak jauh lebih kompleks dan berani termasuk mengheret unsur kepercayaan kepada Tuhan dalam pertentangan berkenaan.
Penggunaan alam sebagai medan menjelaskan hubungan manusia dan syaitan juga amat menarik yang mana kita dapat melihat pertentangan api dan tanah yang menjadi unsur-unsur asas ciptaan kedua-dua makhluk ini.
Ini jelas sebagai pendekatan yang sangat bertentangan dengan kebanyakan filem seram tempatan beberapa tahun kebelakangan ini yang lebih gemar menyesakkan nafas penonton dengan sogokan kejutan paksaan, berbanding meresahkan mereka dengan ketakutan secara semula jadi.
Namun begitu, Roh berdepan dengan cabaran untuk memba­ngunkan dialog yang baik. Malah dalam sesetengah keadaan dialognya kelihatan longgar, canggung dan tidak konsisten. Kadangkala kita mendengar pengucapan seperti era purba, kadangkala mendengar pula pengucapan slanga terkini yang sebenarnya menjejaskan pembentukan peribadi watak.

Teknikal 

Berbekalkan kekuatan teknikal termasuk sinematografi dan suntingan serta lakonan berkualiti, Roh meniup roh baharu kepada genre filem seram tempatan dan lebih membanggakan ia datang daripada seorang pengarah muda dan penerbit kecil, Kuman Pictures dengan perbelanjaan keseluruhan di bawah RM350,000.
Melalui Roh kita faham filem yang baik bukanlah datang dari bajet besar dan nama popular, sebaliknya ia muncul melalui cerita yang kuat, cita-cita yang tinggi dan visi kepengarahan yang jelas serta berselera tinggi.

Daniyal Kadir ialah penulis buku dan pengulas filem tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya