KESAN pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi perubahan penerimaan masyarakat terhadap pelbagai bidang . Antara bidang yang makin terjejas termasuklah dunia perfileman. Walaupun sudah ada ruang untuk penonton sendiri pergi ke panggung wayang. Namun dalam keadaan harus diakui tiada lagi kegemilangan dunia sinema.
Bagi Faizatul Hasanah Hussain yang berpengalaman luas dalam bidang penebitan, dia percaya sinema tempatan dan dunia secara amnya masih mampu hidup namun perlu mengubah cara pemasaran mengikut perubahan semasa.
“Tidak pernah siapa menyangka dunia akan berubah sekelip mata akibat pandemik ini. Siapa pernah meramal yang kehidupan kita juga akan berubah dengan mematuhi pelbagai SOP? Begitu juga dengan filem, perubahan ini yang sedang kita lalui hari ini.
“Apa pun yang terjadi, industri filem tetap akan hidup. Cuma caranya mungkin berubah dengan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi. Sebagai penerbit filem, kita perlu berani menghadapi situasi ini dan bersikap optimis,” kata wanita yang lebih mesra disapa dengan panggilan Hana ini.
Sebagai penerbit, dia tidak boleh meletakkan kutipan di panggung sebagai penanda aras semata-mata sebaliknya perlu menggunakan pelbabai platform lain termasuklah menjual filem kepada stesen televisyen atau kepada plaform digital yang popular ketika ini.
Tambahnya, itu sudah pasti akan memberikan pulangan semula kepada pelabur dan penerbit filem dalam jangka masa yang panjang; lebih baik daripada membiarkan sahaja sinema tempatan ‘mati’ di dalam diam tanpa sebarang produk baharu.
“Ini risiko yang perlu diambil tetapi untuk orang industri, tiada yang mustahil. Semuanya kita perlu lalui dengan hati yang terbuka demi kelangsungan sinema tanah air,
“Selain itu, sebagai penerbit dengan adanya penggambaran ini secara tidak langsung dapat berkongsi rezeki dengan kru produksi yang sudah tiga bulan tidak bekerja. Sedikit sebanyak ini memberikan mereka senyuman dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.
Bercerita mengenai filem Janet- Sumpahan Terlarang, Hana yakin naskhah yang diambil daripada sebuah kisah legenda urban Sarawak itu cukup popular dalam kalangan penduduk di sana sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu.
Diterbitkan oleh Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. mengisahkan seorang gadis bernama Janet yang dianiayai oleh insan yang dicintainya sehingga menghantui kehidupan mereka satu persatu.