Bermuzik gaya SOG - Utusan Malaysia

Bermuzik gaya SOG

Sekumpulan Orang Gila (SOG) - GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GILA tidak semestinya hilang akal. Gila juga boleh ditafsir sebagai sesuatu yang jauh keluar daripada kebiasaan atau tindakan berani seseorang yang tidak boleh dihadam oleh fikiran.
Itulah kegilaan yang dibawa kugiran Sekumpulan Orang Gila (SOG) yang dianggotai Raja Nazmin Shah Raja Azaham atau Adek (dram); Raja Nazrin Shah Raja Azaham (Nazrin – gitar/vokal); Mohamad Khairul Ridzuan Abdullah (MK Ridzuan – seruling/gendang); Riko Agus (Riko – screamer); Abdul Qayyum Rahim (Qayyum – bass) dan Muhammad Amsyar Saiful Azhar (Amsyar – gitar).

Sudah 15 tahun 
Sepanjang 15 tahun usia penubuhannya, SOG tidak pernah gentar mencuba sesuatu yang baharu dan terkehadapan.
“Kami nak buat yang tulen, tak nak sama dengan yang lain,” tegas Nazrin apabila bercerita tentang gubahan muzik SOG yang dikatakan bersifat ‘nusantara’.
“Kami tak pernah fikir tentang nusantara sebab kami dah sampai Afrika. Tahun 2007 kami dah buat lagu tentang pembunuhan besar-besaran di Darfur, Sudan.
“Kami banyak rujuk muzik folk apabila buat lagu. Dari Asia, Afrika, Arab ke India, semua kami ambil. Mungkin orang hanya nampak nusantara sebab instrumen yang kami guna dan lirik pula dalam bahasa Melayu,” kata Nazrin lagi.
SOG ditubuhkan pada 2005 sebagai ‘kugiran budak sekolah’ yang jamming di setiap hujung minggu untuk menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Guru. Ketika itu mereka menggunakan nama Sound Of Genocide.
Setakat ini SOG telah menghasilkan satu EP, Civilization Is On Trial (2013) dan dua album, iaitu Bahtera (2014) dan Dermaga (2018).
“Idea kami adalah untuk menghasilkan album-album yang ada kesinambungan cerita, seperti apa yang kami buat untuk Bahtera dan Dermaga.
“Kalau ikutkan bunyi, Bahtera tidak sekeras Dermaga. Dermaga memang sengaja dihasilkan secara lebih mentah dengan bunyi studio tanpa banyak proses. Bahtera bunyinya lebih kemas.
“Kami cuba untuk tunjukkan yang lagu-lagu kami walaupun bunyinya mentah, kalau gubahannya baik orang akan tetap dengar. Ini konsep yang kami ambil dari kugiran Indonesia, Burgerkill.
“Untuk album ketiga nanti, ia sepenuhnya baharu sebab kali ini kami kerja dengan orang lain. Album sebelum ini kami hasilkan sendiri,” terang Adek.

Album
Album ketiga SOG dirakam di Paris, Perancis dan akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.
Album tersebut telahpun selesai semua proses dan sepatutnya dilancarkan pada April lalu, namun ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepatutnya juga kami buat jelajah di seluruh Asia, termasuk di China, Jepun dan seluruh Asia Tenggara untuk mempromosikan album ini. Kali ini memang kami sasarkan pasaran antarabangsa,” kata Nazrin.
Jika dinilai pengalaman SOG, mereka sudah lebih daripada layak untuk diiktiraf sebagai nama besar dalam industri muzik negara. Namun daripada segi populariti, mereka masih kurang dikenali, terutamanya di arus perdana.
Ia mungkin berpunca daripada kekuatan prinsip kugiran ini sendiri yang tidak mahu tunduk kepada kehendak komersial yang berpotensi mengorbankan nilai seni dalam diri mereka sendiri.
“Kami letak nilai seni itu lebih daripada komersial. Komersial penting untuk kugiran bertahan tetapi kami tak letak duit adalah segalanya. Bila letak duit nombor satu habislah, dah macam melacurkan diri.
“Waktu mula bergiat aktif dulu, ketika itu scene indie tengah naik tapi kami tak diterima. Kami jalan sendiri, main gig pay to play pun banyak kali.
“Kami tak ikut gelombang (indie) yang turun naik itu; tak nak ikut trend. Macam (bunyi) nusantara ini, dah jadi trend sekarang tapi kalau nanti nusantara jatuh, semua akan jatuh sekali.
“Di Malaysia ini, sokongan berdasarkan komuniti dan media. Kalau media cakap kugiran itu bagus, semua akan cakap bagus walaupun tak dengar lagi. Sebab itu kami susah nak naik sebab kami tak ada komuniti,” kata Nazrin dan Adek bersilih ganti.
Tentang perbezaan pendengar muzik arus perdana dengan indie pula, keenam-enam mereka mengakui ada jurang yang besar antara kedua-dua komuniti itu.
“Arus perdana pemikiran dia satu hala. Kalau bahasa kasarnya, agak kolot sebab tak cuba cari perspektif berbeza. Arus perdana memang susah (nak tembus masuk).
“Indie pula lebih terbuka. Mereka yang nak dengar lagu indie adalah mereka yang betul-betul nak mendengar dan teroka muzik,” kata Nazrin. – Rondivu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya