Fasa ‘darah manis’ Mira Filzah - Utusan Malaysia

Fasa ‘darah manis’ Mira Filzah

Mira Filzah. - Foto Ihsan Asri Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMA seperti pasangan bertunang lain, pelakon Mira Filzah tidak menolak dia kini dalam fasa yang cukup bahagia. Bakal melangkah ke alam perkahwinan beberapa bulan lagi, Mira bagaimanapun tidak mahu terlalu terbuka berkongsi secara terperinci persiapan hari bahagianya.

Masih belum bersedia mendedahkan tarikh pernikahannya dengan Wan Emir Astar yang juga anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd. Yazid. Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan ini, berjanji tidak akan merahsiakan apa-apa apabila sampai waktunya.

“Tempoh ini perasaan gementar tidak ada, sepanjang proses ini saya gembira sebenarnya.

“Mungkin tarikh (pernikahan) itu masih lagi jauh, sebab saya sendiri tidak beritahu bila sebenarnya, jadi perasaan gementar itu mungkinlah masih belum wujud,” katanya tersenyum manis.

Cuba untuk tidak berselindung, bagi Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, soal bersedia bergelar seorang isteri itu adalah proses baharu yang akan dilaluinya nanti.

“Bersedia, insya-Allah. Bagaimanapun soal masak atau kemas rumah itu lebih kepada kemahuan dan kerajinan kita nanti.

“Cuma apa yang penting dalam perkahwinan bagi saya adalah pengisian dalaman itu sendiri.

“Dahulu mungkin kita hanya perlu menjaga diri kita, selepas berkahwin ada tanggungjawab lain. Sebab bukan sahaja untuk menjaga air muka sendiri tetapi selepas ini ada air muka orang lain yang perlu kita jaga juga,” katanya panjang lebar.

Ditanya sama ada dengan pengesahan yang dibuat ini sedikit sebanyak melegakan dirinya memandangkan sebelum ini sering dikaitkan bercinta dengan beberapa aktor lain, kata Mira, sebagai selebriti dia menganggap itu adalah antara cabaran yang perlu dilaluinya.

“Sebagai selebriti orang akan kaitkan dengan macam-macam cerita. Tetapi dalam keadaan sekarang ini tentunya orang tidak akan kaitkan lagi dengan cerita-cerita seperti itu,” katanya ringkas.

Jika ada pasangan bertunang lain yang diduga dengan pelbagai cabaran, ternyata Mira kini melaluinya dengan baik.

“Alhamdulillah semuanya berlangsung dalam keadaan baik sahaja,” jelasnya.

Tetap jaga privasi

Melihat beberapa komen ‘manis’ yang ditinggalkan di laman sosial tunangnya itu, ada yang percaya pelakon popular ini juga sudah lebih terbuka. Menolak keadaan itu, kata Mira dia masih lagi menjaga privasi diri dan keluarga.

“Tidaklah terlalu terbuka sangat, masih dalam tahap yang biasa-biasa sebenarnya. Sebab saya masih lagi menjaga soal privasi diri dan kisah peribadi,” katanya ringkas.

Tidak merasakan kerjaya seninya akan terhenti selepas berkahwin, tambah Mira sehingga ke saat ini juga, tunangnya tidak menyuarakan apa-apa pendapat berkenaan karier seninya.

“Buat masa ini dia tidak cakap apa-apa, bagaimanapun orang yang terbaik untuk menjawab soalan ini adalah dia (Wan Emir) sendiri.

“Jadi insya-Allah lebih baik tanya soalan ini kepada dia,” katanya.

Masih tidak mahu mengiyakan sama ada Oktober ini bakal menjadi bulan bahagia buat dirinya, Mira memberitahu, segala persiapan kini masih dalam perancangan.

Namun apa yang cukup melegakan pelakon filem Sangkar ini adalah pengumuman kerajaan membenarkan kehadiran 250 orang ke majlis perkahwinan.

“Soal persiapan masih dalam fasa on-going (persediaan). Kalau berapa peratus persediaan yang sudah dilakukan, saya tak dapat jawab kerana masih di peringkat awal.

“Insya-Allah, memandangkan kerajaan pun sudah membenarkan jumlah tetamu majlis perkahwinan adalah 250 orang, tentunya saya akan sediakan tempat untuk rakan-rakan media. Apa-apa pun, saya akan maklumkan sekiranya semuanya sudah siap sedia,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya