Cantik bersanding, tak perlu berhabis - Utusan Malaysia

Cantik bersanding, tak perlu berhabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Entah kenapa minggu ini, seluruh Malaysia macam sedang jatuh cinta dengan idea sebuah perkahwinan.

Buka sahaja media sosial, ada cerita tentang cinta. Ada yang tersenyum melihat gambar, ada yang sibuk memuji pilihan hantaran pengantin dan ada pula yang mula membayangkan ciri-ciri lelaki idaman yang benar-benar green flag. Rakyat Malaysia memang begitu. Kalau bab cinta, kadangkala kita lebih teruja daripada tuan punya badan.

Namun, di sebalik keterujaan itu, ada satu perubahan menarik dalam cara bakal pengantin Malaysia memilih busana untuk hari bahagia mereka. Semakin ramai bakal pengantin mula melihat kemewahan dengan cara yang berbeza. Baju tidak semestinya perlu ditempah berbulan-bulan. Harga pula tidak perlu membuatkan bakal suami memandang baki akaun bank dengan penuh keinsafan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cantik tidak semestinya mahal. Dan sederhana tidak pernah bermaksud biasa-biasa. Sebab itulah saya tertarik dengan The Bride Series 2026 daripada jenama tempatan Wanzar. Dua rekaan khususnya benar-benar mencuri perhatian saya, iaitu Kemboja Brides in Ivory Silver dan Cindy Brides in Ivory.

Kemboja mempunyai keanggunan yang sukar dijelaskan. Ia tidak beria-ia mahu kelihatan mewah, tetapi setiap perinciannya cukup meyakinkan. Inspirasi sulaman Keringkam diterjemahkan melalui motif klasik dan manik yang dijahit dengan tangan. Potongan kurung moden dengan garis leher bulat bertakuk, lengan panjang bersulam dan kain lipat batik memberikan keseimbangan antara tradisi dengan cita rasa masa kini.

Saya paling suka warna Ivory Silver. Bayangkan cahaya pagi menyentuh sulamannya ketika pengantin melangkah masuk. Ada kilauan kecil yang muncul setiap kali dia bergerak. Tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk membuatkan orang memandang sekali lagi.

Veil bersulam khas yang disertakan pula melengkapkan keseluruhan penampilan. Tidak perlu menambah macam-macam. Kadangkala, seni berpakaian yang paling sukar ialah mengetahui bila hendak berhenti.

Kemudian ada Cindy Brides in Ivory. Pada pandangan pertama, mungkin nampak hampir sama. Tetapi perhatikan betul-betul. Cindy lebih romantik dengan garis leher berbentuk hati bertakuk dan lengan puff yang kemas. Gabungan jacquard bersulam dan tulle net memberikan tekstur yang lebih lembut, manakala kain lipat batiknya mengekalkan identiti tradisional.

Kalau Kemboja ialah wanita yang tenang dan yakin, Cindy pula wanita yang tersenyum malu tetapi tahu semua orang sedang memandangnya. Dua personaliti, dua cara memikat.

Untuk Kemboja, saya cadangkan solekan segar, aksesori mutiara kecil dan kasut bertumit sederhana. Biarkan sulaman menjadi tumpuan. Cindy pula sesuai dengan selendang yang digayakan ringkas atau sanggul rendah bagi pengantin tidak bertudung. Tambahkan sejambak bunga putih dengan sedikit dedaun hijau.

Kedua-duanya tersedia dalam saiz XXS hingga 3XL. Saya suka pilihan yang lebih luas begini kerana wanita tidak sepatutnya perlu mengubah tubuh untuk memenuhi impian memakai baju pengantin yang cantik. Dan itulah sebenarnya perkara yang ingin saya sampaikan minggu ini.

Dalam keghairahan kita meraikan cinta orang lain, mudah untuk terlupa setiap wanita mempunyai kisah, kemampuan dan impiannya sendiri. Ada yang mahukan majlis besar. Ada yang cukup bahagia dengan akad nikah sederhana, keluarga terdekat dan sehelai baju yang membuatkannya tersenyum apabila melihat cermin. Kedua-duanya indah.

Kerana seorang wanita tidak perlu membuktikan betapa berharganya dirinya melalui harga pakaian yang disarungkan. Dia sudah berharga, jauh sebelum ada sesiapa datang menyarungkan cincin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini