KUALA LUMPUR – SVG Worldwide mencipta sejarah dalam industri fesyen Malaysia dengan pelancaran pertunjukan fesyen jalanan terbesar di negara ini, Musim Bunga/Panas 2025, bertempat di The Yard, Sentul Depot pada Sabtu lalu.
Pengasasnya, Muhammad Ashraf Bin Khairul Anuar, atau lebih dikenali sebagai Ashraf Anuar, menghasilkan impak besar dalam dunia ‘streetwear’ dengan memperkenalkan acara yang mendefinisikan semula batas fesyen dan seni penceritaan.
Ashraf memulakan SVG Worldwide dengan hanya RM50 dan kini telah mengembangkannya menjadi jenama fesyen jalanan bernilai lebih RM5 juta dengan pengaruh besar dalam industri.
Koleksi terbaru, bertajuk ‘The Journey’, mencerminkan evolusi seninya dan menandakan peralihan jenama ke era baharu yang menegaskan identiti serta kebebasan kreatifnya.
Selain mempamerkan fesyen, pertunjukan ini juga menyampaikan mesej sosial dan budaya, termasuk penghormatan kepada Palestin melalui persembahan khas oleh Faizal Tahir.
Ashraf juga melihat fesyen sebagai platform perbincangan yang lebih luas, menggabungkan ‘aesthetic’ fesyen dengan isu global.
Sebelum ini, Ashraf dikenali dengan pendekatan inovatif dalam fesyen, termasuk mempersembahkan koleksi di trek perlumbaan dan menerapkan elemen unik dalam rekaan.
Usahanya membuktikan bahawa jenama tempatan boleh bersaing dengan jenama antarabangsa.
Dengan kejayaan ini, SVG Worldwide menetapkan penanda aras baharu dalam fesyen jalanan Malaysia dan dijangka memberi inspirasi kepada lebih ramai pereka tempatan untuk membawa fesyen tempatan ke peringkat global.
SVG Worldwide ‘Pop-up store’ ditubuhkan di Starhill bermula 9 Februari sehingga 16 Februari yang menawarkan akses eksklusif kepada koleksi edisi terhad.