JOHOR BAHRU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sentiasa terbuka memberi kefahaman tentang Islam berpandukan ajaran Al Sunnah Wal Jamaah kepada seluruh masyarakat termasuk mereka yang terpesong mengikut ajaran tertentu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, perkara itu termasuk memberi kefahaman kepada ajaran didakwa agama baharu yang dibawakan oleh seorang wanita baru-baru ini.
Katanya, isu berkenaan ajaran itu sudah berada di peringkat pihak berkuasa agama dan akan membiarkan pihak berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Bagi Yadim, kita lebih kepada menumpukan aspek kefahaman seperti mana asas penubuhan yayasan itu sendiri untuk pastikan pengembangan ajaran Islam yang berpandukan ajaran Al Sunnah Wal Jamaah agar ia dapat diperluaskan.
“Jadi, kita terbuka untuk memberi kefahaman kepada pengikut tersebut, hal ini memerlukan respon kedua-dua pihak dan kena ada interaksi. Memang kita akan berhadapan dengan semua pihak yang ingin mendapat penjelasan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Bantuan Ziarah Yadim Prihatin sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas di sini hari ini.
Program Ziarah Yadim Prihatin selama dua hari mengunjungi pusat jagaan orang tua, ziarah saudara baharu dan santuni golongan orang kurang upaya selain menyampaikan sumbangan bernilai RM30,000 berupa barangan keperluan harian serta bekalan makanan.
Sebelum ini, Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawa Ibu Yati yang cuba menyebarkan fahaman pelik bertentangan ajaran Islam sebenar.
Kelahiran agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan mengakui membawa ajaran Islam Melayu.
Tambah Tuan Kamarul, buat masa ini Yadim akan mendengar dan mendekati semua pihak berhubung isu berkaitan kefahaman tentang ajaran Islam.
Katanya, program Nadwah Islam Kekuatan Ummah (Nadiku) yang dilancarkan pada bulan lalu akan memberi tumpuan khusus isu akidah Islam yang akan bergerak ke seluruh negara menerusi program turun padang di peringkat akar umbi.
“Nadiku yang diumumkan pada awal tahun ini bakal membuat program pertama dalam masa terdekat. Kita masih mencari pendekatan yang terbaik kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita juga akan menggunakan platform media sosial Yadim sendiri dengan menyajikan pelbagai aktiviti setiap hari seperti webinar, pengisian forum dan sebagainya yang menyentuh isu akidah, kesihatan, vaksin dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE