Jangan hanya riuh, tapi kualiti hampa - Utusan Malaysia

Jangan hanya riuh, tapi kualiti hampa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUDAHNYA tembusi industri seni sekarang. Tular sana sini untuk kumpul followers,nama mula dikenali dan menjadi sebutan, terus dapat peluang berlakon atau meneroka apa saja cabang seni.
Justeru, tidak hairan jika industri hiburan, sama ada muzik mahupun lakonan dilambakkan dengan ramai ‘bintang segera’ yang menagih ruang untuk memahat nama. Itu pendapat segelintir pihak.
Dari satu sudut, kehadiran mereka memberi pilihan kepada penerbit untuk mengetengahkan muka baharu, sekali gus memperlihatkan keterbukaan industri dalam menggilap bakat pelapis.
Secara tidak langsung, populariti di media sosial juga mampu menjadi platform pencarian bakat baharu. Namun, untuk kesan jangka panjang, apakah jalan pintas ini akan memberi manfaat kepada industri?
Dalam menggerakkan industri, kita mengharapkan kehadiran bakat muda yang mampu memberi impak dari segi kualiti, bukan hanya ‘meriah’ atau riuh semata-mata.
Apakah mereka benar-benar berminat atau sekadar menjadikan industri seni sebagai laluan pintas untuk meraih peluang lain?
Berbeza dulu, kebanyakan bakat baharu terpaksa melalui jalan sukar untuk mengetengahkan kemampuan. Mereka perlu menghadiri pelbagai sesi uji bakat, malah terpaksa menelan komen dan kritikan pedih sebelum mendapat peluang muncul di skrin televisyen.
Semua itu sanggup diharungi kerana niat mereka cuma satu iaitu menjadi anak seni sejati. Bakat sahaja tidak memadai buat mereka, malah sebahagian sanggup mengeluarkan belanja mendalami ilmu seni persembahan sebagai persediaan memasuki industri.
Mereka juga dilatih untuk menjaga disiplin, mendalami segala aspek kerjaya seperti memahami tuntutan skrip supaya tidak nampak kaku di depan kamera. Mereka juga dibimbing untuk menjadi anak seni profesional yang mempunyai nilai di mata penerbit.
Jika diteliti, industri sebenarnya mempunyai ramai bakat baharu berpotensi. Namun, pelbagai syarat tidak masuk akal, perlahan-lahan menyekat langkah mereka untuk mengembangkan bakat.
Kecenderungan pihak produksi dan stesen TV mengambil pelakon berdasarkan jumlah pengikut di media sosial perlu dihentikan. Bukan semua pengikut menonton TV, malah pasaran untuk kedua-dua medium itu juga berbeza.
Ketika penerbit cenderung mementingkan paras rupa pelakon berbanding bakat, ia juga perlu datang bersama tanggungjawab.
Seperti kata pelakon senior, Nasha Aziz, dalam mencipta trending, penerbit juga perlu menyediakan ‘sekolah’ kepada artis baharu ini untuk mengasah bakat.
Penerbit atau pelakon perlu menyediakan sedikit peruntukan dengan memasukkan bakat baharu ini dalam kelas untuk dibimbing sebelum ke lokasi penggambaran.
Pelakon baharu ini juga harus mempunyai tanggungjawab dengan berusaha sendiri menimba ilmu untuk memperbaiki diri. Apa guna jika hanya bersedia dari sudut fizikal semata-mata, sedangkan pengisian dalaman masih terumbang-ambing.

Zul Husni Abdul Hamid ialah Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya