MUNGKIN dulu pembabitan selebriti dalam dunia politik dianggap tabu. Malah, hak mereka bersuara juga sering dipolemikkan, membuatkan tidak ramai berani menzahirkan pendirian terhadap politik.
Sebagai figura berpengaruh yang memiliki daya tarikan kuat, sukar untuk menolak pembabitan golongan ini dalam dunia politik.
Meskipun seni dan politik dua cabang berbeza, sebagai anak Malaysia, mereka juga punya hak untuk bersuara dan melontarkan pandangan demi masa depan negara.
Mereka juga mempunyai wawasan dan misi tersendiri dalam menyalurkan pandangan berkaitan isu semasa yang memberi manfaat kepada kepentingan awam.
Mutakhir ini, perubahan dapat dilihat dalam iklim politik negara apabila beberapa artis dan pempengaruh media sosial dicalonkan merebut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
PRU15, Sabtu ini menyaksikan selebriti dan pempengaruh media sosial turut bersaing. Parlimen Port Dickson menyaksikan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) menentang aktivis sosial, Abdul Rani Kulup atas tiket Bebas.
GTA turut mempertaruhkan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof di Parlimen Sabak Bernam, manakala Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando pula bersaing di Parlimen Tanjong Karang.
Pakatan Harapan pula menyandarkan kekuatan pengaruh penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli mewakili PKR untuk Parlimen Lenggong, manakala bekas Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Mohamad Khair Mohd. Noor bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis mewakili Parti Warisan.
Kehadiran calon popular ini mengheret perdebatan umum tentang kredibiliti dan integriti mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen. Mungkinkah mereka sekadar menjadi pemanas kempen lalu lenyap selepas PRU15 berakhir nanti? Segala-galanya akan terjawab pada 19 November ini.
Dalam membicarakan perkara ini, masyarakat seharusnya bersikap terbuka dan menerima pembabitan selebriti dalam kancah politik sebagai ruang menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dalam memperjuangkan isu rakyat.
Barangkali keupayaan mereka untuk mendapat kepercayaan rakyat masih menjadi tanda tanya, namun usah dinafikan pengaruh selebriti dalam menyalurkan nilai kepada masyarakat.
Datuk Dira Abu Zahar antara contoh penggiat seni yang berjaya melakar tapak dalam karier politik apabila memenangi kerusi DUN Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.
Dari sudut positif, penerimaan masyarakat itu membuktikan anak seni semakin celik dengan isu semasa untuk bangkit sama berjuang demi masa depan bangsa, agama dan negara.
Setiap anak seni mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu mengukuhkan parti yang mereka sokong. Raikan semangat dan keberanian anak seni ini kerana mereka juga ada tanggungjawab sebagai warga Malaysia.
Zul Husni Abdul Hamid ialah Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.