MELAKA: Beberapa pemilik kebun mangga Melaka Delight di Kampung Gelam, dekat sini dianggarkan kerugian hampir RM45,000 kerana banjir yang berlaku Isnin lalu menenggelamkan kebun mereka.
Seorang pekebun, Rosli Ahmad, 56, berkata, air bah boleh menyebabkan sebahagian hasil buahnya rosak dan tidak boleh dijual.
Katanya, kira-kira 600 batang pokok mangga Melaka Delight yang ditanam kini sedang berbuah dan dijangka dapat dipetik tidak lama lagi, namun banjir yang melanda dikhuatiri menjejaskan hasilnya nanti.
“Sejak Isnin lalu, banjir melanda kawasan Bukit Rambai termasuk menenggelamkan sawah padi di Paya Luboh dan kebun.
“Kebun saya digenangi air paras atas buku lali. Air banjir di kebun ini dijangka surut dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Keadaan itu, katanya, bakal menjejaskan sumber pendapatannya kerana banyak buah mangga dijangka rosak dan masam.
Kerisauan sama turut dikongsi Kamaruddin Ismail, 50, yang melahirkan rasa kecewa kerana kebunnya kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat.
Katanya, ini terjadi berikutan limpahan dari air Sungai Paya Luboh.
Jelasnya, banjir yang melanda beberapa kawasan terutama sawah padi sudah kembali seperti biasa, namun kebun mangganya belum surut sepenuhnya.
“Habis pokok mangga Melaka Delightditenggelami air dan ini sudah pasti hasil buahnya nanti rosak serta tidak boleh dijual.
“Ini sekali gus menjejaskan pendapatan saya,” katanya yang mengusahakan kebun tersebut sejak 17 tahun lalu. – UTUSAN ONLINE