SHAH ALAM: Seorang bakal peguam berdepan 16 pertuduhan pecah amanah bernilai RM39,228 milik firma guaman tempat kerjanya antara 2018 hingga 2019.
Tertuduh, Sutrisno Sujeno, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Sutrisno semasa kejadian adalah pelatih dalam kamar sebuah firma guaman melakukan pecah amanah bernilai RM39,228 membabitkan 10 pelanggan untuk kegunaan dirinya sendiri.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat firma itu yang terletak di Dataran Palma, Ampang sejak 28 Disember 2018 hingga 19 Februari 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Sutrisno yang tidak diwakili peguam memohon jaminan terhadapnya dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya membantu rakan di kebun.
“Saya juga sentiasa memberi kerjasama dengan pengadu dan tidak pernah melarikan diri ketika ditangkap.
“Malah, saya bersedia menyelesaikan dengan pengadu ( firma guaman) dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun ini. – UTUSAN ONLINE