PERMATANG PAUH: Seorang tenaga pengajar di sebuah institut memandu di sini disaman kerana mengabaikan calon di bawah seliaannya ketika sesi latihan memandu dijalankan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Adenan Md. Isa berkata, perkara itu terbongkar selepas pemeriksaan mengejut dijalankan di institut memandu tersebut hari ini.
“Kami (JPJ) mengeluarkan notis saman terbabit kerana tindakannya membiarkan calon tanpa pengawasan ketika memandu boleh mengundang bahaya.
“Ini termasuklah kemalangan atau sebarang insiden tidak diingini yang lain,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.
Menurut Adenan, selain kesalahan itu, pihaknya mengesan satu lagi kesalahan teknikal iaitu berkaitan kenderaan yang digunakan di institut memandu berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tayar kenderaan di situ yang tidak diselenggara dengan baik.
“Jadi notis telah dikeluarkan terhadap kesalahan itu kerana boleh membahayakan keselamatan termasuk mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Sehubungan itu, Adenan mengingatkan semua pemilik institut memandu supaya memantau dan menitikberatkan aspek keselamatan semasa beroperasi selain membuat pemeriksaan berkala terhadap kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga.