5 kriteria pemilihan jurupandu daki gunung - Utusan Malaysia

5 kriteria pemilihan jurupandu daki gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAJAT saya untuk ke Air Terjun Jelawang dan Gunung Stong akhirnya tercapai selepas beberapa kali rancangan terpaksa ditunda akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Air terjun setinggi 303 meter dan menjadi air terjun tertinggi di Asia Tenggara sememangnya memukau sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke sini termasuklah saya. Malah, penat selepas pendakian yang memakan masa lebih kurang tiga jam (bergantung pada tahap kecergasan seseorang) hilang sejurus melihat pemandangan air terjun apabila tiba di puncak Kem Baha.
Trip ini sememangnya berbaloi walaupun misi menawan tiga puncak iaitu Gunung Stong, Baha dan Ayam gagal dilaksanakan apabila hanya satu sahaja dapat ditawan disebabkan beberapa faktor.
Bagi sesiapa yang berhajat untuk ke sini, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira selain faktor kecergasan semata-mata.
Sudah semestinya kelengkapan menjadi perkara utama amat dititik beratkan sesiapa sahaja yang mahu menawan gunung setinggi 1,422 meter yang terletak di Dabong Kelantan ini.
Namun, kedua-dua perkara tersebut masih belum cukup dan pastinya ada lagi faktor lain yang amat penting sekiranya mahu melakukan aktiviti pendakian iaitu pemilihan jurupandu.
Berdasarkan pengalaman saya termasuk trip kali ini, jurupandu memainkan peranan penting terutama apabila ada ahli kumpulan yang tidak cukup cergas.
Perjalanan saya ke Gunung Stong lancar tanpa masalah dan salah satu faktornya sudah semestinya jurupandu yang banyak membantu.
Perlu diingat walaupun keadaan kita cukup cergas, jangan dilupa rakan lain yang mungkin kurang latihan atau mengalami kecederaan kecil semasa tempoh pendakian.
Trip saya kali ini dibantu jurupandu berkredibiliti dan bertanggungjawab apabila memastikan semua ahli trip bergerak dalam satu kumpulan tanpa berpecah.
Kami gelarkan dia sebagai abang Jay atau nama sebenarnya Mohd. Nazir Zakaria dengan pengalaman hampir 20 tahun.
Dia tidak tergopoh-gapah macam dikejar hantu dan sanggup menunggu ahli kumpulan bergerak perlahan demi memastikan keselamatan semua terjamin.
Kata abang Jay, pemilihan jurupandu perlu dibuat berasaskan sikap mereka dan antara perkara yang perlu diteliti pada seseorang jurupandu itu adalah:

1. Sabar
Sama ada suka atau tidak, seseorang jurupandu perlu menunggu sehinggalah ahli kumpulan dalam satu-satu trip cukup dan bukan membiarkan ahli yang kepenatan berseorangan. Ia secara tidak langsung boleh mendatangkan risiko. Selain itu, kesabaran tinggi amat dituntut jurupandu untuk berdepan dengan pelbagai kerenah ahli kumpulan.
2. Komunikasi
Diam memberi seribu erti. Ia turut memberi pelbagai petanda termasuk penat atau cedera. Namun apabila berada dalam satu kumpulan terutama membabitkan jumlah kecil, suasana senyap membuatkan haiwan tidak menyedari kehadiran kita dan akan berada terlalu hampir. Di sinilah peranan jurupandu gunung diperlukan untuk menghasilkan bunyi, sekaligus menyebabkan haiwan lari.

3. Perancangan rapi
Ada kumpulan yang baru pertama kali melakukan aktiviti pendakian. Jadi, tidak mustahil sekiranya barangan penting tertinggal. Justeru menjadi tanggungjawab kepada jurupandu membawa beberapa peralatan sebagai persediaan. Contohnya dapur, pisau atau lampu suluh termasuk makanan tambahan.

4. Kualiti
Jurupandu orang tempatan akan memudahkan perjalanan kerana mereka tahu selok-belok atau pantang larang ketika pendakian. Malah, mereka juga dikenali dan ini sudah semestinya memudahkan urusan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

5. Berpengetahuan
Apabila memasuki hutan, ahli kumpulan bukan sahaja perlu berjaga-jaga dengan ancaman haiwan liar. Akan tetapi, tumbuh-tumbuhan yang beracun. Selain itu, ada jurupandu yang sangat mahir dengan laluan haiwan liar seperti gajah.
Jika ada yang masih tercari-cari untuk mencari jurupandu untuk trip ke Gunung Stong, anda mungkin boleh hubungi abang Jay menerusi Facebooknya, Jay Stong.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya