Air merupakan elemen penting dalam kehidupan pelbagai biodiversiti di Malaysia.
Tidak kira manusia, tumbuhan mahupun hidupan akuatik memerlukan sumber air untuk terus hidup dan berfungsi dengan baik.
Terutamanya manusia kerana menurut kajian yang telah banyak dilaporkan di peringkat antarabangsa mendapati manusia boleh bertahan sehingga tiga minggu tanpa makanan, namun tanpa air manusia hanya boleh bertahan kira-kira tiga hingga empat hari sahaja.
Oleh itu, keperluan terhadap air merupakan yang paling utama untuk kelangsungan hidup.
Namun, kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati 53 peratus air sungai di negara ini diklasifikasikan sebagai sedikit tercemar atau tercemar.
Penemuan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada gangguan bekalan air dan kemerosotan kualiti air minuman yang boleh membawa mudarat kepada pengguna dalam jangka masa panjang.
Bagi mengatasi permasalahan itu, Ketua Laboratori Biopolimer dan Bahan Terbitan (BADs), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) UPM, Prof. Madya Datuk Dr. H’ng Paik San mengambil inisiatif membangunkan inovasi penapis air mudah alih ultra, Aquapod.
Menariknya, produk inovasi itu dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit sekali gus menjadikannya sebagai inovasi mesra alam.
Karbon aktif
Tempurung berkenaan dipilih kerana ia berupaya menghasilkan karbon aktif berstruktur liang mikro yang menyumbang kepada sifat penjerapan yang sangat tinggi bagi penapis air mudah alih ultra.
Sifat itu juga menjadikannya fleksibel kerana sesuai dengan semua jenis paip.
Paik San berkata, penggunaan karbon aktif berliang mikro yang disintesis daripada biojisim sawit dapat menyingkirkan logam berat, klorin dan mikroorganisma daripada air serta memberikan sumbangan secara langsung dan tidak langsung.
Ia sekali gus dapat membolehkan masyarakat menikmati bekalan air paip yang jernih dan tidak berbau.
“AquaPod ialah penapis air ultra mudah alih yang membekalkan air tulen untuk kegunaan harian. Ia mempunyai sifat penjerapan yang sangat baik serta prestasi tiga kali ganda lebih baik daripada penapis konvensional.
“Dengan menggabungkan semua sifat terbaik itu, AquaPod menandakan era baharu dalam industri penulenan air untuk pembangunan karbon terbitan biojisim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek yang dijalankan bermula tahun 2017 dan siap sepenuhnya pada tahun 2022 itu mendapat dana melalui Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau 2021/2022 oleh Kerajaan Negeri Selangor, Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICOE) dan Geran Pendanaan Antarabangsa di bawah EVC Management Pty. Ltd. (Australia) bernilai hampir RM300,000.
Ia disasarkan mampu menawarkan faedah bukan sahaja kepada industri pertanian tetapi juga kepada industri kelapa sawit.
Optimumkan penggunaan tempurung
Menurut Paik San, Aquapod dapat memberi sumbangan besar kepada Malaysia melalui pengurusan sumber yang lebih cekap dan bebas daripada sisa serta meningkatkan kualiti pengurusan sisa.
Melalui inovasi itu, tempurung kelapa sawit yang biasanya digunakan sebagai produk berkualiti rendah seperti arang dan baja boleh ditukar menjadi produk berkualiti tinggi.
Seterusnya, penggunaan optimum sisa itu turut mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi sosial melalui penghasilan produk yang bernilai tinggi.
“Pendekatan proses baharu melalui rawatan bersepadu didapati menghasilkan karbon teraktif gred komersial dengan luas permukaan yang tinggi.
“Ia mengandungi keseluruhan 80 peratus permukaan mikropori yang menunjukkan penjerapan yang sangat tinggi dengan menggunakan suhu pengaktifan yang rendah,” ujarnya.
Selain itu, penggunaan tempurung kelapa itu juga dilihat dapat menguruskan sisa hasil pertanian dengan lebih baik bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Tidak hanya itu, ia juga bakal mewujudkan industri baharu iaitu transformasi sisa pertanian kepada produk penjerap.
“Ia mampu membuka era baharu dalam industri air untuk pembangunan karbon teraktif yang mempunyai liang mikro bermanfaat untuk menjerap dan membasmi kuman dan virus.
“Baru-baru ini, karbon teraktif juga digunakan secara meluas sebagai penjerap serba boleh dalam industri penulenan udara untuk menghilangkan kekotoran,” tambahnya lagi.
Inovasi penapis air itu dihasilkan melalui dua kaedah iaitu pengaktifan fizikal berterusan dua peringkat dan rawatan ultrasonik.
Rawatan itu berfungsi untuk menyingkirkan kandungan silika dalam kuantiti yang tinggi selain menghasilkan karbon aktif yang kebanyakannya terdiri daripada liang mikro.
Ciptaan harta intelek itu juga telah didaftarkan dibawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).