KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 masyarakat Islam mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan India di sini hari ini, sebagai bantahan terhadap kerajaan India dan tindakan biadab jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) di India, Nupur Sharmah serta Naveen Jindal yang menghina Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah.
Perhimpunan berlangsung kira-kira 1 jam bermula pukul 2.30 petang selepas solat Jumaat.
Rata-rata peserta perhimpunan terdiri daripada ahli parti politik, veteran angkatan tentera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Islam sekitar.
Sepanjang perhimpunan berlangsung, 10 wakil daripada pelbagai NGO menyuarakan pandangan mereka yang mahu isu itu diselesaikan segera.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd, Zai Mustafa berkata, perhimpunan itu menuntut Kerajaan India mengenakan tindakan tegas terhadap Nupur Sharmah serta Naveen Jindal.
“Pendirian NGO Islam adalah isu ini tak sepatutnya berlaku. Kita lihat isu yang berkaitan dengan agama adalah isu sejagat, mana-mana agama tak boleh membuat provokasi kepada agama lain.
“Perkara ini banyak berlaku di India, kita tak pernah buat provokasi kepada agama lain, kalau ikut rekod. Namun sering berlaku di luar negara dan India sudah mengulangi lebih dua kali isu ini, tindakan sedemikian tidak patut diulang,” katanya. – UTUSAN