KOTA KINABALU: Masalah kekurangan pekerja dalam sektor pelancongan di Sabah tidak begitu meruncing.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta), Datuk Seri Winston Liaw berkata, biarpun ada antara pekerja sektor pelancongan berpindah ke sektor lain semasa pandemik Covid-19 namun, ada antara mereka kembali bekerja apabila sempadan negara dibuka pada 1 Mei lalu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh dua tahun ini, banyak pekerja sektor pelancongan yang berpindah dan bekerja di sektor lain.
Katanya, semasa minggu pertama Hari Raya Aidilfitri, ramai pelancong daripada Singapura dan Semenanjung Malaysia berkunjung ke Sabah sehingga tempahan pusat penginapan dan hotel sentiasa penuh.
Malah, penerbangan juga sentiasa penuh kerana terlalu banyak pelancong yang berkunjung ke Sabah.
“Situasi ini menjadi petanda yang baik biarpun ia hanya bersifat sementara. Selepas Aidilfitri, tempahan mungkin akan berkurang 50 peratus kerana orang ramai mula kembali bekerja.
“Walau bagaimanapun, apabila penerbangan daripada Korea Selatan dan Brunei Darussalam kembali beroperasi masuk ke Sabah, sektor pelancongan dijangka kembali rancak,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pada masa ini kira-kira 20 peratus pengusaha pelancongan masih belum beroperasi kerana masih menunggu kemasukan pelancong asing.- UTUSAN
Ends.
120522-Sbh-sattaPelancongan
WINSTON LIAW
[