Tembikai ‘kayangan’ cecah RM30 sebiji di Tok Bali

Tembikai ‘kayangan’ cecah RM30 sebiji di Tok Bali

HARGA buah tembikai yang dijual di sepanjang laluan utama Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan melonjak sehingga RM30 sebiji. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Harga tembikai ‘luar musim’ yang dijual di deretan gerai buah-buahan sepanjang Jalan Tok Bali-Kota Bharu, di sini melonjak sehingga mencecah RM30 sebiji sejak awal Ramadan.

Keadaan itu jauh berbeza pada pertengahan Februari lalu apabila hampir semua petani melelong hasil tuaian tembikai mereka dengan harga serendah RM1 sekilogram atau kira-kira RM5 sebiji.

Malah ketika itu, ada yang sanggup menjual buah itu RM10 bagi setiap 10 biji atau kira-kira RM1 sebiji selepas kejadian ribuan tembikai ‘lemas’ akibat ditenggelami bencana banjir kilat luar jangka.

Seorang pembeli, Siti Fatimah Mohd. Nor, 35, berkata, harga terkini itu menjadikan tembikai kategori buah ‘kaya­ngan’ kerana tidak lagi mampu dinikmati rakyat miskin untuk juadah berbuka puasa.

“Sebelum Ramadan, harga tembikai sudah naik kepada RM3.50 sekilogram dan awal Ramadan, harganya naik lagi kepada RM3.80 sekilogram manakala tembikai susu mencecah RM6 sekilogram.

“Harga mahal tembikai di kawasan ini sekarang sudah tidak melambangkan Tok Bali yang terkenal sebagai Jelapang Tembikai di Kelantan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Menjawab keluhan itu, peniaga dikenali sebagai Mohamed, 44, menjelaskan, tembikai tersebut adalah di luar musim kerana bukan hasil tanaman petani tempatan, sebaliknya dibawa masuk dari Johor dan Pahang.

“Kami beli bekalan tembikai ini daripada pemborong pun sudah mahal, iaitu antara RM2.80 hingga RM3 sekilogram. Dengan harga modal itu, kami hanya ambil untung 50 sen sahaja bagi setiap sekilogram.

“Harga tembikai mungkin terus naik menjelang Hari Raya Aidilfitri dan musim cuti sekolah kelak kerana mendapat permintaan tinggi apabila semakin banyak majlis keraian serta perkahwinan diadakan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya