TUMPAT: Enam keluarga di Kampung Dalam Rhu di sini, yang rumah mereka musnah dalam kebakaran Sabtu lalu, mengharungi Ramadan serba kepayahan apabila terpaksa menumpang kedai makan dan rumah saudara-mara.
Dalam kejadian pukul 1.40 petang Sabtu, enam rumah di kampung berkenaan, terbabit dalam kebakaran dengan lima daripadanya hangus terus, mengakibatkan kesemua penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Salah seorang mangsa, Azman Mamat, 51, berkata, dia bersama isteri dan dua anak kembar perempuan mereka kini terpaksa menumpang di sebuah kedai makan milik anak saudaranya berhampiran lokasi kejadian.
“Setakat ini saya buntu dan belum tahu apa yang hendak dilakukan kerana kami sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang. Kalau ada rezeki, saya mahu bina semula rumah kami di atas tapak rumah yang musnah ini.
“Sambutan hari raya kali ini memang suram kerana kami sudah tidak ada rumah, namun, saya tetap reda dan bersyukur kami terselamat dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Nisha Yuzairi, 29, berkata, dia bersama suami dan ibunya, Abdul Rashid, 52, pula terpaksa menumpang di rumah saudara di Kampung Palekbang, di sini buat sementara waktu.
“Memang hiba melihat rumah keluarga berusia 40 tahun itu musnah terbakar, lebih-lebih lagi sehari sebelum kejadian, saya dan ibu sudah pun membeli baju raya bersama kasut dan beg tangan baharu,” katanya.
Terdahulu Pengerusi Group Gatih Amal, Abdul Halim Shafai meluangkan masa menyantuni keluarga tersebut dan menyampaikan bantuan wang tunai antara RM500 hingga RM700 kepada setiap keluarga.
Selain itu, enam keluarga terbabit turut menerima sumbangan berupa kotak makanan yang diagihkan oleh Pertubuan Dana Kita dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Utusan Online baru-baru ini melaporkan seorang warga emas terselamat dalam kebakaran melibatkan enam rumah di Kampung Dalam Rhu selepas diusung keluar beramai-ramai oleh penduduk di situ. – UTUSAN