Tangani segera hakisan serius Pantai Pasir Panjang 

Tangani segera hakisan serius Pantai Pasir Panjang 

KEADAAN hakisan pantai yang semakin serius di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, Pulau Pinang akibat dibadai ombak perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa berkaitan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi hakisan yang serius di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau dekat sini akibat dibadai ombak.

Menurut Presidennya, Mohideen Abdul Kader, kejadian yang berlaku sejak setahun lalu itu menyebabkan tebing sepanjang 300 meter di kawasan berkenaan telah runtuh. 

Selain itu, kata beliau, beberapa batang pokok kelapa dan pokok rhu juga musnah dan lebih 20 pokok lagi sedang menunggu masa untuk tumbang. 

“Malah, Kem Wawasan Negara berhampiran pantai itu juga terdedah kepada keadaan yang amat berbahaya kerana kesan hakisan yang berlaku hampir menjejaskan beberapa bangunan di kawasan tersebut. 

“Tangga untuk laluan pengunjung ke pantai itu juga telah rosak dan terdapat banyak sisa batu berselerak di sepanjang pantai berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambah beliau, CAP kesal dan bimbang kerana walaupun masalah itu sudah lama berlaku, namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib bagi menanganinya. 

Ujar beliau, pihaknya percaya jika keadaan tersebut terus dibiarkan, alam sekitar di kawasan itu akan terancam dengan lebih teruk dan kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku serta menjejaskan keselamatan orang ramai. 

“Sehubungan itu, kita menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi punca masalah ini. 

“Kita juga meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil kepada umum dengan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya