KLUANG: Seorang wanita warga emas maut manakala lima yang lain cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori di Kilometer 58, Lebuhraya Utara Selatan di sini, kira-kira pukul 1.30 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, wanita berkenaan yang juga penumpang hadapan kereta meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Lori berkenaan dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian kereta dinaiki enam orang melanggar belakang lori itu.
“Kemalangan mengakibatkan seorang penumpang hadapan kereta wanita warga tempatan meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala. Lima mangsa yang lain turut cedera dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Affendi Mustafar berkata, sebuah jentera disertai enam anggota dihantar ke tempat kejadian sebelum mendapati kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan. – UTUSAN