LANGKAWI: Kira-kira 300 pengunjung mengambil peluang melihat fenomena air laut surut penuh sehingga berlaku ‘laut terbelah’ hasil pembentukan beting pasir di Pantai Tanjung Rhu, di sini, semalam.
Fenomena yang unik itu berlaku selama sejam bermula pukul 7 pagi.
Pengunjung mengambil kesempatan berjalan di beting pasir yang terbentuk sepanjang 600 meter dari pantai ke tengah laut hasil kejadian air laut surut penuh itu.
Lebih menarik, beting pasir berkenaan terbentuk hingga ke Pulau Kelam Baya dan menghampiri Pulau Cabang.
Seorang pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 57, berkata, dia telah membawa pengunjung berjalan di beting pasir sejak fenomena itu berlaku pada 2008.
Menurutnya, pengunjung dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong teruja menyaksikan fenomena unik itu apabila mereka berada mula berada di pantai tersebut seawal pukul 5 pagi.
“Pengunjung yang berjalan kaki di atas beting pasir itu berpeluang melihat secara dekat hidupan marin yang menarik seperti ikan sebelah, tapak sulaiman, pena laut, anemone, ketam, siput dan sotong kurita,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Rhu, semalam.
Zoher percaya fenomena air surat penuh itu lazimnya berlaku sehari sahaja.
Bagaimanapun, tambahnya, pada tahun ini fenomena itu berlaku pada 3 Februari lalu, semalam dan hari ini.
“Fenomena air surut penuh yang berlaku setahun sekali berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di Langkawi dan boleh dipromosikan secara besar-besaran selepas ini,” ujarnya.
Bagi seorang penduduk, Nurul Huda Hamid, 36, dia bangun seawal pukul 6 pagi kerana teruja menyaksikan sendiri fenomena air laut surut penuh itu.
“Saya berasa seronok kerana dapat melihat pemandangan matahari terbit yang cantik dari pulau di sini.
“Selain itu, saya juga dapat menyaksikan secara dekat hidupan laut yang menarik seperti tapak sulaiman, batu karang dan sotong kurita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Resort Tanjung Rhu, Ameran Mohd. Sharil berkata, pada tahun ini, resortnya mengadakan acara berjalan di atas beting pasir itu bagi menarik pengunjung untuk merasai pengalaman unik itu.
“Tahun ini adalah kali kedua kami mengadakan acara ini dan kami menerima 200 peserta yang dipandu oleh penasihat alam semula jadi yang menunjukkan spesies hidupan laut kepada mereka.
“Kami juga bekerjasama dengan APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan polis bagi memastikan keselamatan pengunjung ke program ini. APM juga membunyikan siren amaran bagi memastikan pengunjung berpatah balik sebelum air pasang semula,” ujarnya. – UTUSAN