KUANTAN: Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat dan mencatatkan angka paling ramai setakat pukul 1 petang hari ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding negeri lain.
Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 10,317 mangsa dipindahkan di 159 PPS membabitkan 2,902 keluarga.
Sementara itu, data laman sesawang rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menunjukkan jumlah sungai yang mencapai tahap bahaya di negeri ini juga semakin meningkat.
Terdapat 18 sungai di negeri ini telah melebihi tahap bahaya dan lapan sungai melebihi tahap amaran manakala enam lagi melebihi tahap waspada.
Bagaimanapun tiada amaran banjir terkini atau ramalan kawasan yang dijangka banjir dikeluarkan setakat ini.-UTUSAN ONLINE