KUALA TERENGGANU: Seekor penyu agar betina ditemukan mati dengan kesan darah pada bahagian matanya di Pantai Pandak di sini, semalam.
Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, bangkai reptilia marin berusia antara empat ke lima tahun itu ditemukan terdampar oleh orang awam yang beriadah di pantai berkenaan pada pukul 5.18 petang.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian penyu seberat 15 kilogram itu belum dapat dikenal pasti buat masa ini.
“Namun, saya tidak menolak kemungkinan penyu ini lemas akibat terperangkap dalam pukat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Ruzaidi, bangkai penyu sepanjang 53.34 sentimeter itu ditanam di kawasan Pantai Pandak.
Sementara itu, katanya, sepanjang tahun ini sebanyak 38 kematian penyu agar direkodkan di negeri ini di samping seekor tuntung laut.
Penemuan bangkai penyu agar itu menarik perhatian pengunjung di pantai berkenaan, bahkan rata-ratanya sedih dengan nasib yang menimpa haiwan malang tersebut.
Selain Pantai Pandak, Pantai Batu Buruk di sini turut mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya pendaratan penyu direkodkan di destinasi tumpuan pelancong itu pada 17 Ogos lalu, malah sempat menghasilkan 49 telur sebelum kembali ke habitatnya. – UTUSAN ONLINE