Konservasi tanah kunci kejayaan pemuliharaan hutan, bekas lombong - Utusan Malaysia

Konservasi tanah kunci kejayaan pemuliharaan hutan, bekas lombong

ARIFIN ABDU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pembukaan hutan dan pembalakan bukan satu isu baharu di negara kita. Malaysia adalah negara bertuah kerana merupakan pusat kepada sumber kayu kayan tropika yang berharga. Kebanyakan pokok balak dalam hutan mencapai usia beratus-ratus tahun. Eksport balak negara kita adalah lebih RM20 bilion pada 2017 manakala potensi industri mineral dianggarkan bernilai RM4.1 trillion. Sudah tentunya keadaan ini bagus untuk penjanaan pendapatan negara kita, namun kesan terhadap alam sekitar bagi jangka masa panjang perlu diberi perhatian

Keperluan untuk meningkatkan ekonomi negara serta kemajuan hidup rakyat menyebabkan banyak kawasan hutan dibuka untuk tujuan pembalakan dan perlombongan. Kita masih dihangatkan dengan isu Tasik Chini. Tidak lupa juga fenomena perlombongan bauksit di negara kita beberapa tahun lalu. Jangan kita lupa isu tanah runtuh dan banjir kilat yang sering melanda. Selain itu, isu utama yang dibangkitkan oleh golongan pencinta alam adalah kemusnahan alam sekitar terutamanya biodiversiti dan perubahan cuaca.

Komponen penting dalam pengurusan alam sekitar yang sering diabaikan adalah konservasi tanah. Aktiviti pertanian dan perhutanan banyak dijalankan di atas tanah. Ya, tidak dinafikan ada teknik penanaman hidroponik, aeroponik dan akuaponik. Namun, bolehkah teknik tersebut digunakan untuk penanaman pokok-pokok besar seperti kelapa sawit, kayu balak dan sebagainya? Mengapa kita masih  menggunakan tanah sebagai medium asas kepada penanaman pokok-pokok tersebut? Hal ini kerana fungsi tanah itu dalam memberi sokongan asas serta menyalurkan nutrien diperlukan oleh pokok-pokok tersebut untuk tumbesaran yang sihat.

Dalam aktiviti pemuliharaan hutan, kesuburan tanah perlu dikaji kerana ia berkait rapat dengan kesesuaian pokok-pokok yang hendak ditanam. Setiap jenis pokok mempunyai keperluan nutrien yang berbeza-beza. Bagi penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pemberian baja biasanya mengikut keperluan, namun bagi penanaman pokok hutan, kebiasaannya pokok ditanam terus dalam tanah tanpa sebarang bahan tambah untuk membantu tumbesaran. 

Sekiranya tanah tersebut mempunyai isu seperti asid sulfat, besar kemungkinan pokok tidak boleh hidup. Selain itu, penanaman atas tanah berpasir dan gambut juga perlu diberi perhatian yang serius kerana kesilapan dan kealpaan dalam penanaman boleh menyebabkan kerosakan tanah serta kegagalan kerja-kerja pemuliharaan.

Adalah penting untuk menanam tanaman penutup bumi atau pokok yang mempunyai kadar tumbesaran yang cepat seperti eucalyptus hibrid yang ditanam di Hutan Simpan Sungai Betis, Kelantan. Selepas tanah kembali subur, pokok-pokok tersebut boleh dituai dan ditanam semula dengan pokok-pokok balak berkualiti tinggi.

Konsep multi-storied forest management oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah antara pengurusan hutan secara mampan yang terbaik di dunia. Kajian penyelidikan mengenai impak positif konsep pengurusan tersebut dijalankan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Arifin Abdu  yang merupakan pakar pemuliharaan hutan dan tanah di beberapa hutan simpan di Perak sekitar 2005 hingga 2013 menunjukkan keberkesanan pengurusan penanaman. 

Selain itu, bekas kawasan perlombongan juga mempunyai masalah degradasi tanah dan amat memerlukan perhatian dalam rawatan tanah serta pemilihan pokok bersesuaian untuk penanaman semula. Hal ini kerana tanah di kawasan perlombongan biasanya mempunyai kandungan logam berat yang tinggi dan toksik kepada flora dan fauna. Oleh itu, fitoremediasi perlu dijalankan menggunakan pokok yang bersesuaian untuk mengeluarkan logam berat tersebut sebelum penanaman pokok-pokok balak lain.

Masyarakat sedar kepentingan tanah tetapi kurang jelas peranan yang dimainkan oleh tanah dalam kehidupan seharian mereka. Food and Agriculture Organization of the United Nations berkongsi 11 peranan utama tanah dan dalam pemuliharaan hutan, tanah berperanan penting dalam penyusutan karbon, perubahan cuaca, kitaran nutrien, habitat untuk organisma, kawalan banjir serta sumber ubat-ubatan dan konservasi genetik.

Dr. Daljit Singh A/L Karam Singh ialah Pengetua Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya