ROMPIN: Tindakan tegas diambil terhadap pemilik kilang kelapa sawit di Ulu Keratong kerana dipercayai menyebabkan pencemaran Sungai Pukin, dekat sini, sejak Selasa lalu.
Kompaun maksimum akan dikenakan kepada pemilik kilang jika terdapat unsur kecuaian atau kelewatan bertindak hingga mengakibatkan berlakunya pencemaran sungai.
Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd. Sidek berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti langkah mengatasi masalah pencemaran.
“Insiden itu dipercayai bermula selepas tebing satu daripada lapan kolam takungan sebuah kilang memproses sawit berhampiran di Ulu Keratong, runtuh berikutan hujan lebat.
“Ban atau tebing kolam takungan itu dipercayai runtuh antara petang Isnin atau Selasa lalu dan aliran air dari kolam berkenaan kemudiannya memasuki anak Sungai Pukin, hingga mengakibatkan berlakunya pencemaran sungai berkenaan.
“Buat masa ini, saya dimaklumkan bahawa pencemaran terbabit memberi kesan kepada 11,500 akaun pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan kilang memproses kelapa sawit berkenaan di sini hari ini.
Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir. Razali Kassim dan ADUN Bukit Ibam, Datuk Shamsiah Arshad.
Ahmad Nasim berkata, tindakan segera juga sudah diambil Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan pihak pengurusan kilang untuk membantu penduduk.
“Sehubungan itu, mereka menyediakan beberapa lori tangki bagi menghantar bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan yang terjejas.
Difahamkan, terdapat 23 kilang memproses kelapa sawit di sekitar Rompin dan perlu dipantau pihak berkenaan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang. – UTUSAN ONLINE