MELAKA: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan usaha 1,000 penduduk Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini yang ingin menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan agro.
Tanpa mendapat bantuan mana-mana pihak, mereka bersatu hati mahu merealisasikan impian menjadikan kampung itu sebagai antara destinasi tarikan utama di Melaka.
Pengerusi Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad (KOPLB), Mohamad Shafik Safarizan berkata, pakej pelancongan agro akan tertumpu kepada sukan ekstrem kenderaan serba rupa bumi (ATV).
“Selepas ATV kita ingin memperkenalkan aktiviti sawah padi kerana kampung ini adalah salah
satu kawasan sawah padi terbesar di negeri ini dengan keluasan 40 hektar diusahakan 50 pesawah.
“Aktiviti sawah padi khusus untuk pelancong dari dalam dan luar negara akan dilaksanakan di kawasan seluas 0.8 hektar milik KOPLB yang kini dalam proses pelaksanaan. Pakej itu akan memberi pengalaman kepada pelancong dengan aktiviti menanam, mengempeng, menyulam dan membanting padi.
“Usaha penduduk melalui koperasi ini adalah sebahagiannya terdiri daripada golongan B40 untuk menambah rezeki karena mereka ini bergantung kehidupan dengan sawah padi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohamad Shafik, baru-baru ini seramai 40 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil pakej pelancongan agro menunggang ATV.
Katanya, sebanyak 12 kenderaan itu yang dibeli pihaknya digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Bukan setakat menunggang ATV tetapi kita menambah aktiviti seperti menjala ikan di Sungai Paya Luboh, menanam dan menyulam padi serta aktiviti pengukuhan pasukan,” ujarnya. – UTUSAN