PETALING JAYA: Umat Islam diingatkan agar tidak memandang sinis terhadap peningkatan jumlah jemaah yang datang mengimarahkan masjid pada awal Ramadan.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) berkata, kehadiran ramai jemaah ke masjid tidak seharusnya diperlekeh, sebaliknya ia mencerminkan penghormatan mereka terhadap bulan yang mulia.
Jelasnya, ia juga menunjukkan keimanan umat Islam terhadap janji besar yang telah Allah tetapkan pada bulan Ramadan.
“Jangan sesekali kita berkata, ‘itu hanya semangat awal sahaja’ atau ‘Ramadan baru nampak muka di masjid’.
“Kelemahan sebahagian daripada kita untuk terus istiqamah sepanjang Ramadan adalah cabaran yang berlaku kemudian, bukan sesuatu yang mencacatkan kemeriahan awal Ramadan,” katanya.
Menurut Mohd. Asri, kemeriahan masjid pada awal Ramadan juga merupakan antara bukti umat Islam mengagungkan syiar Allah.
Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya mempertikaikan fenomena tersebut, sebaliknya berusaha untuk terus istiqamah sepanjang Ramadan.
“Bayangkan jika umat kita tidak mempedulikan kehadiran Ramadan dan masjid kekal dengan jemaah yang sama seperti biasa. Itu merupakan satu bentuk kelalaian terhadap Allah dan Rasul.
“Sebaliknya, apabila masyarakat berpusu-pusu ke masjid pada awal Ramadan, itu menunjukkan rasa hormat serta keimanan mereka,” katanya. – UTUSAN