KEPALA BATAS: Tidak sampai tiga hari atau 72 jam memasang impian untuk ke tanah suci, dua sahabat memulakan perjalanan ke Mekah dengan berjalan kaki bermula dari Masjid Abdullah Fahim di sini, semalam.
Mengikut perancangan awal, Muhammad Farhan Khadid, 34, dan Shamsul Azrin Man, 43, merancang untuk berjalan kaki sehingga ke Hatyai dan Bangkok, Thailand, seterusnya ke Jeddah, Arab Saudi.
Muhammad Farhan yang bekerja sebagai tukang perabot berkata, mereka berdua pernah bertugas sebagai pengiring kepada Mohamad Al Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang kini sedang dalam perjalanan ke Mekah dengan berjalan kaki.
“Sebelum memulakan perjalanan, saya turut melakukan solat istikharah dan hati kami terbuka untuk menunaikan umrah serta nekad untuk merealisasikannya.
“Kami berasa teruja dan gementar, namun, pada masa yang sama amat berharap agar perjalanan ini dipermudah dan diberkati Allah SWT,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Abdullah Fahim.
Sementara itu, Shamsul Azrin berkata, ahli keluarga mereka nyata terkejut selepas dimaklumkan perancangan itu, namun tetap memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.
“Mereka memang tidak sangka, tetapi atas keyakinan kami berdua diharapkan impian ini dapat menjadi kenyataan. Perancangan kami adalah untuk berjalan 20 hingga 30 kilometer (km) setiap hari sehingga tiba di Hatyai. – UTUSAN