Masjid al-Aminin anjur Free Market 3.0

Masjid al-Aminin anjur Free Market 3.0

SHAHAROM Noordin (kanan) dan Azizah Ismail menunjukkan piring dan teko yang disumbangkan orang ramai untuk Free Market 3.0 di ruang legar Masjid al-Aminin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masjid al-Aminin, Batang Tiga di sini mempelawa penduduk setempat untuk menghadiri program Free Market 3.0 di ruang legar masjid itu pada Ahad ini.

Ketua Biro Kebajikannya, Dr. Shaharom Noordin berkata, program yang kali ketiga dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Sharity membolehkan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan secara percuma.

Menurutnya, ia bertujuan meringankan beban golongan B40 terutama orang kurang upaya (OKU), fakir miskin dan ibu tunggal bagi mendapatkan barangan rumah tanpa mengeluarkan wang.

“Sebanyak 22 gerai akan beroperasi di ruang legar masjid menawarkan pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk, baju, seluar, lampu, almari, buku dan sebagainya.

“Semua barangan yang disediakan boleh diambil secara percuma, cuma saya minta ambil barangan itu biar berpada-pada sebab ia percuma, bagi peluang kepada orang lain juga.

“Barang yang ada masih elok, ada yang belum digunakan kerana ada individu yang bermurah hati memberikan barangan tersebut untuk dimanfaatkan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya ketika ditemui.

Tambah Shaharom, orang ramai boleh datang ke masjid bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Sharity, Azizah Ismail berkata, tiga agensi iaitu Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Klinik Kesihatan (KK) Bukit Rambai dan biro guaman turur menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat.

“Jika ada orang ramai yang ingin membawa barangan apa sahaja dialu-alukan melainkan bukan barangan basah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya