Makna kehidupan di sebalik ujian dunia akhir zaman - Utusan Malaysia

Makna kehidupan di sebalik ujian dunia akhir zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Petaling Jaya – Berita tentang pembunuhan, golongan pendakwah yang memperdagangkan agama, serta pencemaran imej Islam sering kali membuatkan kita termenung sejenak, memikirkan bagaimana mereka yang terlibat menghadapi ujian-ujian yang sebegitu berat. Di saat kita mendengar tentang peristiwa ini, ada kalanya kita merasa sukar memahami bagaimana seseorang boleh sampai ke tahap sedemikian, sama ada disebabkan kelemahan iman, pengaruh nafsu, atau tekanan kehidupan.

Mencari makna kehidupan bukanlah suatu perkara yang mudah bagi setiap insan. Dalam perjalanan hidup, setiap individu melalui pelbagai ujian dan cabaran yang berbeza. Sudah sering kita dengari, ujian setiap manusia itu tidak sama, namun objektif akhirnya tetap satu—menuju kepada Allah SWT. Sebahagian diuji dengan masalah diri, keluarga, kemiskinan, kekayaan, kurang kasih sayang, kebahagiaan, kesihatan, serta kepayahan hidup.

Variasi ujian ini adalah warnawarni kehidupan. Yang membezakan antara insan yang berjaya dan tidak dalam menghadapi ujian adalah usaha berterusan dan sikap positif, berbanding mereka yang berputus asa. Ada kalanya, masalah yang dihadapi dirasakan mampu diselesaikan dengan mudah, namun hakikatnya, sesetengah masalah memerlukan masa yang panjang untuk diatasi. Bagi mereka yang berjaya keluar dari kemelut hidup, perjalanan mereka penuh cabaran panas terik, kesakitan, dan keperitan, namun akhirnya mereka bangkit dan berjaya menempuh segala onak duri.

Inilah kehidupan yang telah Allah SWT janjikan. Sesungguhnya, Allah telah berfirman bahawa seseorang itu tidak akan dianggap beriman selagi dia tidak diuji. Ujian itu pasti akan datang, terutamanya kepada orang-orang yang beriman. Perkataan ‘ujian’ mungkin sesuatu yang sukar diterima oleh manusia, namun percayalah, ujian itulah yang paling banyak membawa kita kembali kepada Allah SWT. Ujianlah yang seringkali menyentuh hati kita, mengalirkan air mata keinsafan, dan membawa kita keluar dari kesedihan menuju kebahagiaan. Ia juga memberikan semangat baharu untuk bangkit dari segala kekusutan. Yakinlah, setiap ujian dari Allah SWT terkandung hikmah yang tersembunyi. Ujian tersebut adalah perancangan terbaik dari-Nya, sama ada di dunia ini mahupun di akhirat kelak.

Namun, untuk memastikan penghujungnya berakhir dengan sebaiknya, kita harus menanam dalam diri sifat-sifat mulia yang dicontohi oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sifat-sifat baginda adalah pedoman hidup kita. Memang lumrah manusia, apabila kita dizalimi, kita mahu segera membalas dendam. Perbalahan dan permusuhan sering kali berpunca daripada sifat tamak dan hasad dengki, ego, dan keangkuhan. Insan yang kaya dengan keangkuhannya, si alim dengan sikap berpura-puranya, dan mereka yang tahu agama kadangkala bertindak melampaui batas. Akhirnya, di manakah kita meletakkan diri? Terkulai dalam dilema, sukar menentukan arah yang benar.

Mencari erti kehidupan memang sukar; banyak yang perlu diperhatikan dan dijaga. Namun, yakinlah bahawa jika kita ikhlas dalam menempuh perjalanan ini, sentiasa berusaha menyemai kebaikan, membantu sesama insan, dan sentiasa positif, pengakhiran kita akan dipenuhi dengan kebaikan. Percayalah, inilah kunci kejayaan. Ada yang sesetengah salahkan dunia yang sememangnya kadang merasakan dunia yang tidak adil, ada yang ungkapkan dunia penuh penipuan, dunia yang penuh misteri dan macam-macam lagi perihal duniakan.

Mungkin ada yang telah masak dengan putaran dunia, adalah yang telah lama fikir masak-masak perihal dunia dan juga mungkin ada yang telah terlebih lama masak disebabkan telah lama digoreng oleh dunia. Inilah hakikat dunia. Sebab itulah dunia ini hanyalah tempat persinggahan, dunia adalah laluan perjalanan ke alam kekal abadi, kalaulah Allah swt janjikan dunia ini adalah kekal atau baqa’. Makan berduyun – duyunlah manusia kian makin leka dan lagha serta hidup langsung yang tidak bertujuankan yang pasti.

Maka setelah kita amati dan teliti, inilah dunia sebenarnya penuh dengan mistik dan misteri. Dan sepastinya kita dah cair mendengar, dunia ini hanyalah pinjaman. Dunia tidakkan lama. Ingat ya pinjaman ya! Ini bukan pinjaman Ahlong atau pinjaman hutang piutang kita. Ini adalah segalanya pinjaman dari TuhanMu Allah swt, kelak sampai masanya, Tuhanmu akan meminta kembali darimu segala pinjaman, bukan sekadar yang bersifat sementara, tetapi juga mulut, telinga, mata, setiap anggota tubuh, bahkan nyawa dan rohmu adalah pinjaman daripada-Nya. Hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa; tiada satu pun yang kita miliki secara mutlak. Kita tidak berhak menganggap apa pun sebagai milik kekal kerana semuanya hanyalah amanah daripada-Nya. – Ahmad Yussof bin Zainal Abidin,Penolong Pendaftar USIM ‘Alamiyyah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya