Qada solat fardu
Soalan
Salam ustaz, saya sudah berusia dan terasa terlalu banyak tertinggal solat fardu tetapi saya berniat menqada. Bagaimana cara saya hendak qada solat tertinggal ini? Adakah perlu saya mengetahui jumlah bilangan solat yang saya tinggalkan dan bagaimana dan bila masa sesuai qada solat ini?
Insan insaf
Bangi
Jawapan
Sekiranya mampu mengetahui bilangan qada itu adalah terbaik dan wajib seseorang berusaha menqada segala solatnya yang tertinggal kerana ia adalah hutang kepada Allah Taala. Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat qada maka rahmat Allah sangat luas yang penting dia sudah bertaubat nasuha.
Hukum
pelihara anjing
Soalan
Sekiranya betul orang Islam tidak dibenarkan memelihara anjing, adakah langsung tidak boleh memelihara walaupun untuk tujuan tertentu seperti untuk menjaga rumah atau kebun tanaman?
Insan musykil
Jinjang.
Jawapan
Hukum asal adalah terlarang seseorang Muslim memelihara anjing melainkan untuk tujuan keselamatan dan berburu. Kita juga boleh berbuat baik kepada haiwan ini walaupun seperti memberi makan walau kita tidak boleh memelihara anjing
Puasa sunat perlu kebenaran suami
Soalan
Apa pandangan Islam, seorang isteri berpuasa sunat tanpa meminta kebenaran suami?
Zanusi
Klang
Jawapan
Seseorang wanita yang berpuasa sunat tanpa keizinan suami puasanya adalah sah. Cuma perlu melihat kepada keadaan suami adakah dia reda akan puasa tersebut atau tidak, maka sekiranya suami tidak mengizinkan selepas si isteri memberitahu dia berpuasa maka isteri terlibat di dalam perkara yang terlarang. Sebaiknya, suami izinkanlah agar isterinya tidak melakukan dosa.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar e-mel kepada [email protected]. –UTUSAN