Rindu Malaysia, sedih tinggalkan tanah suci

Rindu Malaysia, sedih tinggalkan tanah suci

JALAN raya di Mekah mula sibuk dengan kenderaan dan jemaah yang berulang alik ke Masjidilharam selepas musim haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Rata-rata jemaah Malaysia menyatakan mereka tidak sabar pulang ke tanah air selepas selamat melakukan rukun dan wajib haji kelmarin.

Antara yang mereka inginkan adalah melihat suasana di kampung halaman yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau selain bermesra dengan ahli keluarga selepas lebih sebulan berpisah.

NORHAYATI PARADI

Petugas haji, Norhayati Paradi, 42, berkata, dia tidak sabar pulang pada minggu depan untuk bertemu dengan enam anak, ibu dan suaminya di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, sepanjang berada di sini hampir dua bulan, banyak yang saya pelajari dan mengutip pengalaman berharga sebagai kenangan.

“Namun, saya tak sabar nak balik Malaysia kerana rindu kepada keluarga walaupun pada masa sama sedih meninggalkan tanah suci,” katanya.

Menurut Norhayati, dia berazam melihat perubahan pada cara hidup di dalam keluarganya.

Katanya, dia tak sabar untuk menikmati laksa kegemarannya sebaik sahaja tiba di tanah air pada 7 Julai ini.

Berkongsi rasa sama, seorang jemaah, Ahmad Tarmizi Abdul Rahim, 49, yang berkata, dia tidak sabar hendak berjumpa dengan anak-anaknya untuk berkongsi segala pengalamannya sepanjang berada di tanah suci.

“Memang dah rindu sangat dan ingin kembali ke Malaysia sebab nak kongsikan pengalaman manis, pahit, gembira dan macam-macam lagi.

“Bab makanan jatuh nombor dua dan ada juga membeli sedikit buah tangan untuk kenalan dan jiran-jiran,” katanya.

Menurut Ahmad Tarmizi, jemputan mengerjakan haji adalah kenangan manis untuknya pada tahun ini kerana jatuh pada hari lahirnya semalam.

MOHAMAD NASIR SALLEH

Seorang lagi jemaah, Mohamad Nasir Salleh, 70, dari Taman Sri Rahmat, Kuala Krai, Kelantan berkata, dia sangat rindukan dua cucu dan empat anaknya selepas hampir sebulan setengah berada di tanah suci.

“Saya ke sini seorang diri kerana isteri meninggal dunia tahun lalu akibat sakit. Bagi saya biasa saja sebab sedih juga hendak tinggalkan bumi Mekah.

“Saya tiada rasa mengidam apa-apa makanan kerana bagi saya apa yang ada saya makan sahaja. Cenderamata pun hanya beli untuk cucu dan anak-anak kerana wang yang dibawa pun tidak banyak,” kata pesara swasta itu.

Menurut Mohamad Nasir, jauh di lubuk hatinya, dia rindu hendak melihat suasana di tempat tinggalnya lebih-lebih lagi menikmati pemandangan hijau dan gurau senda jiran-jiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya