Soalan
Ustaz, salahkah kita menegur secara baik wanita yang tidak menutup aurat dan bila menegur dikata pula kita jangan buat kerja Tuhan?
Amin Alimi
Pahang
Jawapan
Tidak salah menegur wanita dengan cara baik bukan dengan memarahi dan mengaibkan. Kalau dia kata seperti itu sebutlah Hasbunallah Wanikmal Wakil Nikmal Maula Wanikman Nasir yang bermaksud: “Cukuplah Allah sebagai tempat diri bagi kami, sebaik-baiknya pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami.
Warnakan rambut hitam
Soalan
Bolehkah saya mewarnakan rambut saya dengan warna hitam untuk menggembirakan hati suami? Sebab saya difahamkan tidak boleh mewarnakan rambut yang beruban dengan warna hitam.
Khalidah
Negeri Sembilan.
Jawapan
Di dalam Mazhab Syafie terdapat pandangan yang mengharuskan wanita mewarnakan hitam untuk suaminya. Ini kerana ia boleh membahagiakan suaminya dan ia dituntut di dalam Islam. Terdapat negeri-negeri di Malaysia yang berfatwa dengan pandangan ini dan ia adalah pandangan yang baik untuk diamalkan.
Boleh baca ketika sujud
Soalan
Betulkah tidak elok kita baca ayat al-Quran semasa sujud solat sunat dan fardhu? Contohnya baca ayat 87, Surah Al- Anbiya’ ‘Laillahailla anta subhanaka inni kuntu minnazzolimin” sebanyak 40 kali semasa sujud akhir solat Taubat. Adakah kita hanya boleh baca semasa solat dalam keadaan berdiri sahaja? Pendapat ini dinyatakan oleh Ustaz Dr. Rushdi Salleh berdasarkan kitab Azkar Imam Nawawi.
Ummi Ali,
PJ, Selangor.
Jawapan
Pada pandangan saya tidaklah menjadi masalah untuk dibaca ketika sujud sekiranya solat berseorangan. Namun pendapat yang dinyatakan itu saya perlu merujuk semula kesahihannya.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]