Soalan
Ustaz, apakah hukumnya suami membiarkan isteri yang sebelum ini bertudung tetapi kemudian tidak memakai tudung dengan alasan untuk keselesaan dan kebahagiaan isteri?
Fadli Ayub
Kuala Lumpur
Jawapan
Hukum meredai isteri membuka tudung kepala tanpa menasihati adalah salah kerana suami reda dengan maksiat dan membiarkan isteri melanggar suruhan Allah SWT. Menjadi kewajipan ke atas suami mendidik isterinya. Kalau isterinya tidak mentaati dan masih tidak mendengar nasihat suaminya untuk menutup aurat, maka isterinya yang menanggung dosa tidak menutup aurat itu.
Solat tetapi buat maksiat
Soalan
Apa hukumnya solat tetapi tetap melakukan maksiat. Apakah solat itu diterima?
Hang Kebun
Melaka.
Jawapan
Solat fardu tetap wajib dilaksanakan walaupun seseorang itu masih belum lagi meninggalkan maksiat. Berusahalah dengan khusyuk dan banyak berdoa agar dapat meninggalkan perbuatan-perbuatan maksiat itu.
Suka ambil tahu hal rumah tangga orang lain
Soalan
Apa hukumnya orang yang suka mengambil tahu cerita rumah tangga orang lain sedangkan rumah tangga dia sendiri tidak dijaga?
Alisa Mahdi
Johor.
Jawapan
Hukum mencari keaiban dan mendedahkan keaiban rumah tangga orang lain adalah terlarang kerana ia adalah perkara yang tersembunyi dan tidak boleh dibongkarkan. Di dalam satu hadis menyebutkan “Sesiapa yang menyembunyikan keaiban orang, keaiban seorang Muslim pasti Allah menyembunyikan aibnya.”
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]