Soalan
Apakah hukumnya berpuasa di bulan Ramadan tetapi tidak solat fardhu lima waktu? Adakah puasa itu mendapat pahala?
Azli Azan
Bidor, Perak
Jawapan
Secara dasarnya memang mendapat pahala kerana setiap kebaikan ada pahalanya walaupun dia meninggalkan solat. Kita serahkan kepada Allah SWT. Namun, solat adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam dan sekira meninggalkan solat ia adalah berdosa.
Tak tutup aurat
Soalan
Ustaz, apa hukumnya berpuasa tetapi tidak menutup aurat bagi seorang wanita?
Jo Hadi
Raub, Pahang.
Jawapan
Hukum seseorang berpuasa tidak menutup aurat adalah sah, namun dia berdosa kerana membuka aurat. Maka cubalah menutup aurat agar puasa kita menjadi lebih sempurna.
Ambil deposit,jual beli batal
Soalan
Pembeli telah membatalkan perjanjian jual beli sebidang tanah, adakah deposit 10 peratus yang dibayar kepada peguam oleh pembeli boleh diambil oleh penjual?
Abdul Halim Husain
Selangor
Jawapan
Sekiranya dia melanggar kontrak jual beli seperti yang tertera dalam perjanjian, maka ia boleh diambil oleh penjual sebagai ganti rugi dalam erti hangus.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]