Soalan
Ustaz, apakah hukumnya isteri yang suka bercakap kasar dan keterlaluan menengking suami walaupun sudah ditegur banyak kali oleh suami. Bagaimana suami hendak nasihat isteri sebegini? Cakap dia saja betul.
Mazlan Ali
Jerantut.
Jawapan
Hukum selalu menengking suami dengan keterlaluan boleh jatuh nusyuz dan kesannya boleh gugur nafkah walaupun pembuktian nusyuz itu perlu dilakukan di mahkamah namun secara agamanya isteri telah jatuh nusyuz. Nasihatlah isteri dengan baik atau bersabar.
Bacaan kuat waktu solat
Soalan
Ustaz, setiap kali sembahyang jemaah di masjid, seorang hamba Allah sentiasa bersuara kuat waktu bersembahyang hinggakan jemaah sebelah menyebelah tidak dapat fokus bacaan masing-masing. Apakah hukumnya perbuatan sedemikian?
Azahar
Kuala Kangsar.
Jawapan
Seseorang yang membaca kuat dan mengganggu makmum lain adalah makruh. Ia boleh dinasihatikan dengan baik agar tidak mengganggu kekhusyukan makmum lain untuk bersolat.
Telekung berwarna ganggu khusyuk solat
Soalan
Ustaz, betulkah makruh kalau kita solat pakai telekung yang bercorak dan warna warni? Saya difahamkan seeloknya solat dengan telekung putih saja.
Nina Hamzah
Bukit Beruntung
Jawapan
Sekiranya memakai telekung yang berwarna dengan mengganggu solat, maka pemakaian sedemikian boleh jadi makruh. Namun solat tetap sahih. Mungkin kita boleh memejamkan mata untuk mendapatkan kekhusyukan walaupun memejam mata dalam solat adalah makruh. Namun maslahah khusyuk adalah lebih utama.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]