Soalan
Apa hukumnya jika daging korban kita simpan di rumah dan selepas itu kita uar-uarkan dalam group WhatsApp begini: “ sesiapa yang inginkan daging korban sila datang ke rumah saya…”
Adnan Aziz
Kuala Lumpur
Jawapan
Hukum menyimpan daging korban di rumah tidak ada masalah yang penting sebahagian daripada daging korban tersebut wajib disedekahkan kepada golongan miskin untuk mensahkan korban. Cuma elok dia edarkan tanpa membuka iklan sedemikian bimbang orang malu untuk meminta.
Tak semua bertudung itu baik?
Soalan
Apa hukumnya seorang wanita enggan bertudung dengan alasan bukan semua wanita bertudung itu baik dan mengerjakan solat?
Hairul Ikwan
Putrajaya
Jawapan
Hukum wanita enggan bertudung adalah berdosa kerana meninggalkan kewajipan. Tak semestinya yang bertudung itu sempurna namun paling kurang dia telah mengurangkan bebanan dosa di atas bahunya.
Jangan simpan daging korban terlalu lama
Soalan
Berapa lamakah kita boleh menyimpan daging korban di dalam peti sejuk? Ini kerana ada yang menyimpannya hingga berbulan-bulan lamanya.
Rozita Talib
Pekan, Pahang
Jawapan
Secara dasarnya, janganlah kita simpan sampai luput daging itu. Makna simpanan tersebut merosakkan daging korban. Perlu kepada penyusunan dan pengurusan supaya apa yang kita lakukan ada manfaatnya.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]