Soalan
Apa hukumnya jika seorang lelaki yang mualaf tidak mengikut ajaran Islam. Masuk Islam sekadar berkahwin dengan wanita Islam.
Razia
Selangor.
Jawapan
Hukum masuk Islamnya adalah sah kerana kita melihat kepada zahirnya. Sekiranya dia tidak melaksanakan kewajiban ia ada dosanya namun paling kurang dia telah meninggalkan dosa yang paling besar iaitu syirik kepada Allah Taala. Maka kita dakwahlah dia sehingga dia beramal dengan Islam
Mualaf perlu masa tutup aurat
Soalan
Di pejabat saya ada seorang mualaf wanita yang solat. Dia rajin ke surau. Namun dia memakai baju yang seksi setiap hari ke pejabat. Bagaimana untuk saya menegur untuk dia menjaga aurat.
Jawapan
Dia memerlukan masa untuk menutup aurat sepenuhnya. Berkawan dahulu dengan dia dan ajak memakai pakaian yang sopan sehingga dia bersedia menutup aurat sepenuhnya.
Juliana
P. Pinang.
Makruh tidur saja di Aidiladha
Soalan
Apa hukumnya tidak merayakan Raya Haji. Setakat duduk atau tidur saja di rumah.
Ishak Baba
Johor.
Jawapan
Hukum orang melakukan perbuatan sedemikian adalah makruh kerana meninggalkan amalan-amalan sunah yang mulia. Sepatutnya dia bertakbir, menunaikan solat dan berkorban sekiranya mampu namun dia menghabiskan masa dengan tidur. Maka dia telah kehilangan pahala yang banyak.
Orang ramai boleh mengemukakan soalan kepada Ustaz Fauwaz Fadzil dengan menghantar emel kepada [email protected]