Jangan tunggu ‘tua’ baru hendak mengaji - Utusan Malaysia

Jangan tunggu ‘tua’ baru hendak mengaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“CELIK mata, nampak telefon, nak pejam mata, tengok telefon dulu. Belajarlah agama, mengaji dulu, seminggu sekali pun tak apa.”
Itu luahan, Suhaimin Md. Dahan, 72, yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Long Mi yang tersohor sebagai agamawan dalam bidang tauhid, fiqah dan tasawuf.
Menurut Pak Long Mi yang sudah lebih 30 tahun menabur bakti dalam bidang itu, suasana masyarakat hari ini jauh berbeza berbanding dahulu apabila majlis ilmu termasuk membaca al-Quran adalah satu kemestian dalam setiap keluarga.
“Kita sekarang semakin menjauh daripada ilmu agama dan al-Quran. Dahulu setiap rumah kedengaran bacaan al-Quran. Budak daripada usia kecil sudah diajar untuk mengaji al-Quran dan mendalami ilmu agama ini. Mereka selepas sekolah dihantar mengaji. Suasana seperti ini sudah jarang nampak.
“Yang nampak? Itulah, mengadap telefon. Pakat tengok telefon siang malam. Paling tidak bergurulah untuk belajar agama atau al-Quran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Lanjut Pendang, Kedah baru-baru ini.
Dalam temu bual hampir sejam itu Tok Guru berkenaan berkali-kali turut menekan bahawa ilmu agama itu wajib dipelajari oleh semua orang Islam demi memperkukuhkan pegangan hidup masing-masing agar tidak lari daripada landasannya.
“Jangan tunggu tua, jangan tunggu sudah pencen baru nak belajar agama dan al-Quran. Kalau sudah tua, pencen, otak pun tak boleh nak terima. Seeloknya pada usia 40-an ke bawah itu, kita semua sudah berguru.
“Kalau boleh ajar anak-anak daripada usia 13 tahun untuk belajar agama. Masa kecil inilah senang diasuh dan dibentuk,” kata bekas tenaga pengajar agama di Masjid Zahir Alor Setar.
Pak Long Mi yang juga seorang guru takmir dan masih aktif membuka pengajian di rumahnya mahu pun di pusat pengajian Islam termasuk madrasah ini menegaskan tiga ilmu iaitu tauhid, fiqah dan tasawuf itu penting dalam kehidupan umat Islam.
“Surah Muhammad Ayat 19 yang bermaksud, maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah. Ayat ini menjelaskan tentang kepentingan belajar tauhid. Kena belajar sebab ini sahaja cara kita nak kuatkan iman,” katanya yang mewarisi kepakaran agama itu daripada ayahnya, yang juga seorang tok guru.
Tambahnya, ilmu tauhid adalah berkaitan ilmu keesaan Tuhan dan harus diyakini oleh semua yang beragama Islam sementara ilmu fiqah pula berkaitan ibadah dan syariat Islam yang dapat membantu kita beribadah dengan sempurna.
Ilmu tasawuf pula, jelas Pak Long Mi, akan melatih umat Islam untuk memiliki akhlak mulia dan baik.
“Semua ilmu ini adalah perkara asas dalam Islam dan harus dipelajari melalui guru bukan melalui internet. Belajarnya bukan ambil masa banyak kalau seminggu sekali pun sudah cukup,” kata anak didik Tok Perigi atau Tok Guru Abdul Wahab al-Fusani al-Fathani itu.
Realitinya, kata beliau, akhir zaman ini manusia semakin berlumba-lumba mengejar duniawi menyebabkan kejahilan melanda umat Islam sekali gus dikhuatiri menggoyahkan keimanan umat Islam terutama generasi muda.
“Tok-tok guru agama ini banyak yang sudah tua-tua macam saya dan tinggal tak berapa ramai. Cari mereka dan belajarlah. Ilmu inilah yang akan jadi pegangan hidup kita,” katanya.

Suhaimin Md. Dahan
» Tempat lahir: Tobiar, Pendang, Kedah
» Pekerjaan: Tenaga pengajar Madrasah Guar Kepayang dan Guru Takmir
» Pendidikan: Ma’ahad al-Islamiy, Kampung Wakaf Budi, Sekam, Fathani; Madrasah ar-Rahmaniah, Guar Kepayang Pendang
» Isteri: Salmah Omar, 65
» Anak: 5 orang

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya