Bunuh diri tidak dijamin syurga - Utusan Malaysia

Bunuh diri tidak dijamin syurga

MUHAMMAD Azmir Azizan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN membunuh diri dalam kalangan umat Islam sangat dilarang dan sama-sama sekali individu terbabit tidak dijamin syurga oleh Allah SWT.
Ini kerana perbuatan tersebut adalah dosa besar yang dilarang oleh syarak dan Allah SWT melarang hamba-Nya membunuh diri.
Timbalan Mudir Maahad Tahfiz Al- Quran Al Imam An Nawawi (MATIN), Muhammad Azmir Azizan, 42, berkata, bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian bagi setiap masalah atau tekanan yang dihadapi dalam hidup walaupun seberat mana ujian yang dihadapi.
Katanya, individu yang berdepan dengan tekanan seharusnya kembali kepada ajaran Islam dan memahami ajaran tersebut supaya mereka tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan agama dan moral.
“Rajinkan diri untuk pergi ke majlis ilmu dan kuliah agama. Setiap komuniti atau kampung pasti mempunyai masjid dan di masjid ada imam. Maka pergilah berjumpa dengan imam bagi meminta nasihat apabila berdepan tekanan.
“Selain itu, sumber ketenangan bagi orang Islam adalah al-Quran dan zikir. Jadi, dekatkan diri dengan membaca al-Quran serta berzikir bagi mendapatkan ketenangan dalam jiwa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di MATIN, Kangar, Perlis baru-baru ini.
Muhammad Azmir juga menasihatkan mereka yang mengalami tekanan hidup untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi mengelakkan daripada melakukan perkara yang tidak diingini.
Graduan dalam bidang dakwah dan pengetahuan dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu memberitahu, semua pihak dalam komuniti seperti jiran-jiran juga harus mengambil tahu jika ada individu di sekeliling mereka yang berdepan dengan tekanan dan mengalami masalah.
“Jiran-jiran perlu ambil tahu apa yang berlaku di sekitar mereka dan membantu jika ada dalam kalangan komuniti yang berdepan dengan masalah.
“Selama dua tahun kita berdepan dengan pandemik Covid-19, pasti ramai yang terkesan termasuk kehilangan punca pendapatan. Kini, peningkatan harga barang juga memberi kesan dan tekanan,” ujarnya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga memohon agar kerajaan dapat memandang serius peningkatan kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, jalan penyelesaian harus dicari dengan segera supaya gejala tersebut tidak terus menular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sama-sama perlu mencari jalan penyelesaian. Bukan sekadar membangunkan negara dengan pelbagai bangunan tinggi dan kemajuan sahaja.
“Namun, apa yang lebih penting adalah dalam membangunkan jiwa manusia,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya