LOGO halal tidak semestinya membawa maksud hakiki status makanan itu suci untuk dimakan.
Mutakhir ini banyak keraguan dan ‘subahah’ timbul apabila peniaga terutama dari luar negara tidak patuh syariah sebagaimana yang ditetapkan.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Madrasah Ihya Umuluddin, Mohamed Khairudi Mohamed Alwi berkata, asbab fitnah dan haloba mencari keuntungan sering membangkitkan keraguan pengguna Muslim.
Menurutnya, isu daging import yang dahulunya halal dan kini disahkan tidak halal menimbulkan kegusaran pengguna Muslim terhadap daging kerbau, lembu dan kambing import di pasaran.
“Sebagai negara Islam seharusnya kita berusaha tampil sebagai hub halal dalam membekalkan makanan yang suci terutama melibatkan haiwan sembelihan,” katanya ketika temui di Madrasah Ihya Umuluddin Kampung Berangan, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Tegas Mohamed Khairudi, haram bagi umat Islam makan daging yang tidak halal sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah 2: 173 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Menurutnya, walaupun akreditasi persijilan dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiktiraf dan diterima pakai serata dunia sebagai piawaian persijilan terbaik, namun Jakim masih berdepan asbab fitnah perilaku salah pihak tidak bertanggungjawab.
“Zaman teknologi terkini, segalanya boleh diciplak termasuk logo dan pensijilan halal termasuk yang diberi sijil tetapi tidak melaksanakan pematuhan syariah.
“Pendedahan media mengenai kartel daging import yang tidak halal dari luar negara adalah satu jihad dalam memastikan daging import di pasaran domestik bukan bangkai untuk sajian keluarga Muslim,”ujarnya.
Katanya, trend terkini penggemar daging beku dalam gaya hidup baru masyarakat hanya meletakkan kepercayaan kepada logo halal selain ia dijual di premis perniagaan Melayu di negara ini.
Terang lagi bersuluh, katanya, apabila Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) mengesahkan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia yang membekalkan daging kambing ke negara ini melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.
“Penternak setempat dan kementerian terbabit perlu menyahut cabaran untuk merealisasikan negara ini sebagai hub halal bagi pengeluaran daging yang benar-benar halal.
“Fokus permulaan adalah untuk keperluan domestik dengan memperkasakan bidang penternakan lembu dan kambing,”katanya.
Katanya, pertanian dan penternakan ini adalah satu sunnah dan ada keberkatannya bersandarkan satu hadis sahih yang bermaksud:
“Daripada Ummu Hani, Rasulullah SAW bersabda: “Peliharalah kambing sesungguhnya padanya ada keberkatan.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
USTAZ MOHAMED KHAIRUDI
MOHAMED ALWI
» Umur: 41 tahun
» Asal: Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan
» Pendidikan:
Diploma Pertanian – Politeknik Kota Bharu
Lepasan Madrasah Islamiah Sri Permai Pasir Puteh, Kelantan (11 tahun)