Tertib dan amalan sunah di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Tertib dan amalan sunah di Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIDILFITRI perlu disambut dengan tertib agar kemuliaannya tidak tercemar.
Amal ibadat yang dilaksanakan sepanjang Ramadan, mendidik jiwa untuk terus istiqomah dalam mendambakan keredaan dan keampunan Allah SWT.
Imam Tua Masjid Al-Abrar, Pauh Sembilan, Bachok, Ustaz Mohd. Yuzakky Mohd. Yusof berkata, umat Islam harus menghindari perilaku yang tidak dianjurkan agama ini ketika merayakan hari lebaran ini.
Menurutnya, tujuh amalan sunah yang digalakkan sempena sambutan hari raya seharusnya diamalkan untuk mendapatkan ganjaran pahala.
“Mandi sunat hari raya (dengan niat) sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri untuk memberi kesegaran, semangat dan kesyukuran selepas sebulan berpuasa kerana Allah SWT.
“Ulama besar Tabien Said Bin Jubair pernah berkata, perkara sunah di hari raya antaranya adalah mandi sunat sebelum keluar ke masjid untuk mendirikan solat sunat hari raya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Mohd. Yuzakky, umat Islam juga digalakkan menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid atau surau.
Ini, katanya, bersandarkan kepada sebuah hadis dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang menyebut: Rasulullah SAW tidak keluar di pagi hari raya Aidilfitri sehinggalah baginda menjamah beberapa biji kurma.
“Umat Islam juga seharusnya mengambil peluang untuk bertasbih dengan mengutamakan takbir hari raya bukannya sibuk dengan persiapan lain.
“Kalimah takbir ini dibenci syaitan yang telah dilepaskan ikatan dan rantaian sepanjang Ramadan sekali gus menjauhkan sebarang godaan kemaksiatan,” ujarnya.
Tambahnya, Ad-Dar Qutni menyatakan apabila Ibn Umar RA keluar di pagi hari raya Aidilfitri, dia akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat sunat hari raya.
Selain itu, katanya mengucap selamat hari raya, salam sejahtera dan mendoakan antara satu sama lain juga perlu dalam mengukuhkan ukhuwah dan persaudaran Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, katanya, kalimah Taqabbalallahu minna wa minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadan) kami dan kamu sebagai satu pengucapan dan doa bila bertemu seseorang di pagi hari raya.
Menurutnya, disebut dalam sebuah riwayat bahawa Wathilah pernah berkata: “Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi di dalam Fath Al-Bari, 2/446 )
“Lain-lain amalan adalah memakai pakaian baharu tidak semestinya mahal yang penting menutup aurat.
“Menukar laluan pergi dan balik dari masjid bersandarkan sebuah hadis dari Jabir RA yang menyebut Rasulullah SAW biasanya menukar atau berbeza laluan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari),” ujarnya.
Mohd. Yuzakky berkata, peluang ziarah menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga juga perlu untuk kembalikan semula adab berhari raya yang sebelum ini dikekang oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.”( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

HAJI MOHD. YUZAKKY
MOHD. YUSOF

» Usia: 45 tahun
» Latar belakang pendidikan: Pendidikan
 Rendah SK Pauh Sembilan.
 Pendidikan Menengah Maahad Amir Indra Petra.
 1996-1999 Kolej Sultan Zainal Abidin (KuSZA) – Diploma Bahasa Arab dengan pendidikan.
 1999-2001 Universiti Al-Azhar, Mesir.
 Tugas Hakiki: Imam Tua Masjid Al-Abrar Pauh Sembilan, Beris Kubur Besar, Bachok

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya