AMALAN wajib dan sunat yang diamalkan sepanjang Ramadan lalu, sewajarnya diteruskan walaupun bulan mulia itu sudah berakhir.
Amat menyedihkan apabila kalangan masyarakat kembali kepada tabiat lama, sekali gus meninggalkan rutin solat berjemaah, membaca al-Quran, bersedekah dan lain-lain lagi.
Imam Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Muhammad Zuhir Malek, 30, berkata, bukan mudah untuk setiap orang kekal beristiqamah dalam beribadat termasuk golongan beragama.
Sehubungan itu, katanya, amalan sepanjang bulan Ramadan lalu sepatutnya boleh melatih masyarakat Islam untuk meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Yang Esa.
“Soal istiqamah terletak pada diri setiap individu, jika pada Ramadan, masjid dan surau dipenuhi jemaah ketika solat Subuh, mengapa tidak pada bulan-bulan lain?
“Saya berpandangan masyarakat kita boleh melakukan amalan itu, namun mereka perlu membiasakan diri agar timbul rasa sayang untuk meninggalkan amalan yang sudah sebati dengan jiwa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Muhammad Zuhir, kekangan kerja dan beraya bukan halangan untuk beristiqamah, sebaliknya banyak amalan boleh diteruskan seperti bersedekah atau berpuasa sunat.
“Seeloknya selepas Ramadan berakhir, ambil peluang 10 hari pertama Syawal untuk berjemaah di masjid atau surau bagi menunaikan solat fardu secara berjemaah atau solat sunat.
“Kuncinya adalah dengan membiasakan diri dengan amalan-amalan wajib dan sunat, jika sekadar diamalkan satu atau dua hari sahaja, memang susah untuk istiqamah,” katanya.
MUHAMMAD
ZUHIR MALEK
» Umur: 30 tahun
» Pendidikan: Sarjana Muda Syariah, Universiti Mu’tah, Jordan
» Jawatan: Imam Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, Terengganu