SEBAGAI anak murid kepada Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari, Mohd. Zamhana Ismail sentiasa mengingati pesanan pakar Tajwid al-Quran itu agar tidak ‘kedekut’ mengajar segala ilmu yang dipelajarinya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penolong Pendaftaran Perkahwinan Penceraian dan Rujuk Perak itu berkata, beliau kini sedaya upaya melaksanakan pesanan Allahyarham gurunya itu sebaik mungkin.
Malah sejak 10 tahun lalu, beliau yang juga Naib Kadi Teluk Baharu, Teluk Intan sudah melaksanakan harapan tersebut. Ini dilakukan menerusi kursus khas Tajwid dan ilmu Taranum kepada para imam, bilal di Perak dan mana-mana individu untuk memperbetulkan bacaan al-Quran.
Beliau yang berusia 73 tahun ini ialah guru Taranum yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk). Kini beliau menumpukan kursus berkenaan di daerah Bagan Datuk dan Lumut.
Menurutnya, kursus ilmu Tajwid dan Taranum penting untuk imam dan bilal serta setiap orang Islam untuk memperkemaskan bacaan al-Quran.
“Kursus untuk imam dan bilal ini dibuat secara latihan tubi. Kursus ini penting kerana mereka menjadi contoh dan ikutan masyarakat setempat.
“Sebagai imam dan bilal, mereka perlu memperbaiki mutu bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Malah Nabi Muhammad SAW menyuruh kita memperbaiki bacaan al-Quran sebaik-baik bacaan.
“Selain itu, saya juga mengadakan kursus untuk imam dan bilal mengenai tugas mereka selain menjadi imam solat seperti menguruskan jenazah,” katanya.
Menyingkap latar belakang pendidikannya dalam bidang agama, Mohd. Zamhana berkata, sejak kecil dia meminati bacaan al-Quran menerusi didikan bapanya yang juga seorang guru agama. Beliau menyertai Tilawah al-Quran peringkat negeri Perak seawal usia 10 tahun iaitu pada 1959.
“Saya pernah muncul pemenang tempat kedua sebanyak enam kali dan sekali tempat pertama. Selepas itu, saya menjadi hakim bagi tilawah membaca al-Quran,” ceritanya.
Menurutnya, beliau memilih untuk mengajar membaca al-Quran dan Tajwid sertai Taranum kerana mahu melihat umat Islam membaca al-Quran dengan mutu bacaan yang baik terutama dalam kalangan imam dan bilal.
Katanya, untuk memastikan bacaan al-Quran, ilmu Tajwid dan Taranum amat penting dan ia perlu dipelajari dengan cara berguru supaya kesalahan bacaan dapat diperbetulkan.
“Sepanjang saya mengadakan kursus, ada juga imam yang tersasul bacaan malah bacaan al-Fatihah pun, tapi tak mengapa, saya perbetulkan melalui kursus khas.
“Jika ada imam baca tak betul, mungkin ramai yang tak berani tegur. Bagi saya perkara ini perlu diperbetulkan dan di sinilah peranan mereka yang mahir dalam bidang Tajwid dan Taranum mengadakan kursus untuk mereka.
“Saya rasa seronok jika ada mereka yang sedia mengajar ilmu Tajwid dan Taranum ini,” terangnya lagi.
Menurutnya, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperelokkan bacaan al-Quran terutama dalam solat supaya amalan itu menjadi sempurna.
Katanya, amat menyedihkan jika imam gagal membaca al-Quran dengan betul semasa solat.
“Kalau dari mulai takbir dalam solat pun sudah tak betul, macam mana nak jadi pemimpin dalam beribadat. Keadaan ini harus diperbetulkan dari semasa ke semasa.
“Pada pendapat saya, dalam hal memperelokkan bacaan al-Quran ini bukan hanya kepada imam masjid, tetapi semua orang Islam malah pemimpin negara seperti wakil rakyat pun elok belajar, biar mereka jadi contoh yang baik, Insya-Allah, ada ganjaran Allah nanti,” katanya.
Dalam usianya sekarang, tambahnya, dia tidak pernah jemu untuk terus mencurahkan ilmu Tajwid dan Taranum demi memastikan umat Islam dapat membaca al-Quran dengan baik.
“Saya akan terus mengajar sampai tak mampu dan tak larat. Saya mahu panjangkan ilmu yang saya peroleh daripada guru dan bapa saya,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Imam pun boleh tersasul bacaan
- Oleh AIN SAFRE BIDIN
- 8 Mei 2022, 4:17 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Anak mualaf medium dakwah berkesan
7 Januari 2024, 4:53 pm
Islam tidak larang berhibur, namun ada batasnya
17 Disember 2023, 2:37 pm
Nama yang elok satu doa untuk anak
19 November 2023, 6:12 pm