Tarikh sebenar 1 Syawal diputuskan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja 

Tarikh sebenar 1 Syawal diputuskan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja 

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada 1 Syawal jatuh pada hari Isnin atau Selasa ini hanya dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Malah, ketetapan berhubung tarikh sebenar 1 Syawal itu adalah wajib dipatuhi dan ditaati seluruh umat Islam di negara ini. 

Menjelaskan isu dan pendebatan tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, keputusan itu hanya boleh dibuat Majlis Raja-Raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Menurutnya, kuasa menentukan anak bulan terletak kepada pemerintah (Ketua Negara) iaitu jika di Malaysia ia di bawah Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi sesebuah negeri. 

“Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam juga tertakluk kepada kuasa pemerintah dan hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah.

“Apabila berlaku khilaf, maka hakim atau pemerintahlah yang akan memutuskannya terutama apabila berlaku perselisihan atau perdebatan,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri. 

Justeru, beliau mahu umat Islam merujuk isu itu kepada tokoh-tokoh dan pakarnya dalam bidang berkenaan termasuk hal anak bulan dan kaitannya dengan ilmu falak. 

Terdahulu, berlaku perdebatan dalam media sosial ketika ini susulan tular kandungan dalam aplikasi WhatsApp kononnya umat Islam di Malaysia dijangka menyambut 1 Syawal pada Isnin ini. 

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan, penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dilakukan menerusi aktiviti cerapan rasmi di seluruh negara di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, aktiviti cerapan anak bulan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan Sahibus Samahah Mufti Negeri. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya